Wednesday, February 9, 2011

~Jodoh Tak Datang Bergolek~


SUATU KETIKA DAHULU
“Has, umur kita dah mencecah hampir suku abad. Anta tak ada perancangan untuk berkahwin?” tanya Ziad, sepupu saya ketika kami menjamah makan malam.
“Hmm… terfikir juga. Cuma tidak seserius mana. Anta rasa macam mana?” saya menyoalnya kembali.
“Kalau anta berhajat, jomlah kita berjumpa dengan Ustaz Wan,” cadang Ziad.
Ustaz Wan adalah seorang pelajar PhD di UK. Beliau merupakah seorang tokoh masyarakat yang dekat di hati kami kerana sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan pelajar yang mengenalinya. Dalam kesibukan beliau mengendalikan pengajiannya di peringkat PhD, beliau tidak lokek meminjamkan masa dari semasa ke semasa untuk berceramah, berseminar dan membuka kelas-kelas pengajian yang amat berharga, terutamanya buat anak perantau yang dahagakan petunjuk agama di bumi UK.
Kami sering merujuk kepada Ustaz Wan.
Bukan hanya dalam soal ilmu dan hukum hakam, tetapi membabitkan soal kehidupan. Beliau adalah tempat rujuk yang paling tepat untuk pelajar bertemu dan meminta nasihat serta pertolongan tentang cinta, jodoh dan perkahwinan.
“Anta tak ada calonkah daripada kalangan ustazah-ustazah Jordan sana?” soal Ustaz Wan petang itu.
“Err… ustazah-ustazah Jordan garang, ustaz. Nanti ana tak dibenarkan makan pizza. Hanya khubuz arabi sahaja!” saya menjawab dengan nada gurauan. Ustaz Wan dan Ziad ketawa.
“Anta ada kriteria tertentu?” tanya Ustaz Wan kepada saya.
“Tak ada ustaz. Asalkan elok di mata ustaz, eloklah di mata ana. Cuma jika ada ruang, ana lebih cenderung untuk mencari calon yang kampungnya dekat-dekat. Tidak perlu bermusafir jauh untuk pulang ke kampung nanti,” saya menjawab.
“Oh, kalau ada calon dari kampung ana, anta tak setujulah ya?” gurau Ustaz Wan sambil mengisyaratkan jarinya kepada Zack yang ketawa di sisi.
Wait and see laa ustaz!” kami ketawa.
Kami tahu, isteri Ustaz Wan juga banyak berbual dengan kelompok siswi. Mereka juga merujuk kepada isteri Ustaz Wan dalam hal-hal seperti ini dan sebahagiannya meminta bantuan beliau untuk mencarikan jodoh yang sesuai.
Ustaz Wan mencadangkan agar saya mencari jodoh dari kalangan pelajar perubatan di Ireland. Kombinasi Ustaz dan doktor bagus untuk khidmat masyarakat katanya. Cuma ustaz yang berkahwin dengan doktor kenalah bekerja keras untuk menyesuaikan kerjaya dan expectation masing-masing memandangkan kepada nature kerja kedua-dua profesyen itu.
Saya bersetuju.
Ustaz Wan dan isteri memanjangkan hajat saya kepada seorang senior yang berada di Dublin, Dr. Faiz.
Beliau dan isterinya merupakan doktor yang dihormati di kalangan pelajar. Biar pun beliau bukan seorang ustaz, namun perwatakannya yang prihatin kepada kebajikan pelajar serta keperibadiannya yang baik, menjadikan beliau sebagai tempat siswa dan siswi mengadu hal dan meminta nasihat.
Selain nasihat berkaitan akademik, beliau juga banyak berkongsi peringatan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan cinta, jodoh dan perkahwinan.
seacat
Menaiki Seacat menyeberangi Laut Irish dalam ikhtiar berkaitan jodoh – Disember 1998
“Ahlan wa sahlan ke Dublin, ustaz,” kata Dr. Faiz semasa menyambut saya yang baru tiba dengan keretapi dari Belfast.
“Terima kasih doktor,” saya berpelukan dengannya.
Biar pun kami hanya sesekali bertemu di dalam program, namun keserasian pemikiran dan sifat saling hormat menghormati memberikan keselesaan serta merta kepada kami berdua untuk berbual mesra. Pertemuan pada malam Ramadhan yang penuh keberkatan itu menjadi sesi bertukar-tukar pandangan di antara saya dengan beliau. Setelah dimaklumkan oleh Ustaz Wan lebih sebulan yang lalu, Dr. Faiz dan isteri mencadangkan kepada saya beberapa orang siswi yang mempunyai hasrat yang sama, sebagai calon isteri.
CALON CADANGAN
“Ana ada dua orang calon yang dirasakan sesuai dengan ustaz. Tetapi terpulang kepada ustaz untuk mempertimbangkannya,” ujar Dr. Faiz malam itu.
“Hmm, kalau mengikut catatan doktor, calon yang pertama ini amat banyak persamaan dengan ana. Hingga poskod beliau pun sama. Doktor rasa kenapa agaknya?” saya tersenyum semasa membaca catatan Dr. Faiz tentang ‘calon pertama’ yang dikemukakannya.
“Kenapa ya? Ana tak perasan pula!” kata beliau. Sedikit terkejut.
“Ini sepupu ana, doktor. Haha!” saya ketawa.
“Ohh ye ke? Tak tahu pula ustaz ada sepupu di sini. Patutlah poskod pun sama. Rumah dekat-dekat barangkali,” Dr. Faiz ketawa sambil menepuk dahi.
Saya membelek maklumat tentang calon kedua yang dikemukakan oleh Dr. Faiz.
Namanya Nazhatul Muna.
Hmm… sedap nama itu. Seperti Arab. Tanda ibu bapanya orang beragama barangkali. Alamatnya di Ipoh. Orang dekat juga nampaknya. Adik beradiknya 10 orang. Besar keluarga ini. Mungkin juga bonus, petanda baik kesediaan berkaitan cahaya mata nanti. Serba serbi, maklumat ringkas yang ada cukup berpada.
Saya tidaklah cerewet dalam mencari. Risaunya lebih kepada menjadi. Kalau mahu mencari yang baik, banyakkan usaha menjadi yang baik. Berkahwin untuk memberi… expectation kita adalah soal peranan dan tanggungjawab. Manakala kelebihan dan kebaikan isteri, itu bonus. Sebab itulah mungkin saya tidak mengalami banyak kesusahan untuk membuat keputusan.
“Insya Allah selepas Tarawih nanti ana beri keputusan. Cuma kalau ada gambar orangnya, izinkan ana menengoknya untuk melengkapkan syarat Sunnah,” saya memberitahu. Kebetulannya jam sudah hampir 7:30 malam. Solat Isyak dan Tarawih bakal bermula.
dublinmosque
Di masjid ini saya memohon restu dari Allah sebelum keputusan besar dibuat
Selesai solat, saya mengambil masa seketika menunaikan solat Hajat. Memohon kekuatan daripada Allah untuk ‘menyokong keputusan besar’ malam itu. Keputusan yang banyak berpandukan fatwa hati, bahawa ia tenang dengan kebaikan dan resah dengan perkara yang berlawanan. Hati saya tenang sepenuhnya… dalam munajat kepada Allah.
“Ya Allah, pada malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, aku ingin membuat keputusan yang besar tentang wanita yang bakal kupilih menemani kehidupan dan perjuangan ini, sepanjang hayatku. Atas ikhtiarku sebagai hamba-Mu yang tidak mampu melihat apa yang Engkau sembunyikan, aku menilai zahirnya, Kau uruskanlah ghaib dan batinnya. Berkatilah pilihanku ini dan kuatkan azam serta tawakkalku kepada-Mu. Aku hamba-Mu, dia hamba-Mu, Engkau Tuhan kami. Jadikanlah segalanya dalam suluhan hidayah dan inayah-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen”
Kami bertemu semula selepas moreh.
“Kebetulan zaujah ana ada gambar ukhti tersebut. Ini dia,” Dr. Faiz menghulurkan sekeping gambar.
Saya terkasima di antara rasa teruja dan lucu memikirkannya. Sekeping gambar yang memaparkan hampir 30 orang mahasiswi di hadapan bangunan universiti, wajah calon isteri saya hanyalah sebesar kepala mancis. Apa yang pasti, calon itu cukup matanya, lubang hidungnya, mulut dan dua tangan di kiri dan kanan badan. Alhamdulillaaah!!!
“Insya Allah doktor. Hati ana berada dalam keadaan yang tenang. Dialah calon pilihan ana. Andaikata beliau bersetuju. Jika beliau tidak bersetuju, ana berlapang dada,” saya memberitahu.
Malam itu juga, Kak Ila isteri Dr. Faiz menelefon muslimah bernama Nazhatul Muna itu di bandar Galway, beberapa ratus kilometer ke Barat Dublin. Hampir 15 minit mereka berbual.
“Hah, apa cerita?” Dr. Faiz bertanya kepada Kak Ila yang tersenyum simpul datang ke ruang tamu.
“Alhamdulillah, nampaknya orang sebelah sana pun tidak susah membuat keputusan. Dia belum mempunyai apa-apa komitmen walaupun ada meminta bantuan sepupunya yang belajar di Mesir. Beliau bersetuju, ustaz!” kata Kak Ila kepada saya. Beliau juga girang sekali dengan hasil malam itu.
Sebak dada saya. Antara syukur dan terharu. Debar di dada makin terasa. Malam ini adalah permulaan yang baru dalam hidupku.
Subhanallah. Saya akui saya tidak susah untuk membuat keputusan. Tetapi saya tidak menjangkakan yang calon di sebelah sana juga begitu. Malam itu kami mencapai beberapa keputusan. Dr. Faiz mencadangkan agar semasa Hariraya Aidiladha nanti, saya datang sekali lagi ke Dublin untuk diperkenalkan dengan calon tunang dan isteri saya di rumah mereka. Dr. Faiz dan isteri mahu mengatur sesi Taaruf. Sementara itu, beliau tidaklah mengenakan apa-apa syarat kerana kami masing-masing faham akan batasan agama yang dipersetujui bersama.
Rancangan untuk bertaaruf itu tidak berhasil.
Saya tidak sempat untuk datang semula ke Dublin kerana pulang ke Malaysia. Kebetulannya emak juga sudah maklum akan hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang. Tidaklah terus berkahwin, tetapi menunggu sehingga calon saya menamatkan pengajiannya di bidang perubatan. Masih ada dua tahun berbaki. Tempoh yang penting untuk saya membuat persiapan diri.
Setelah ada persetujuan di kedua-dua belah pihak, Dr. Faiz mencadangkan agar saya tidak lagi menggunakan khidmat beliau sebagai orang tengah. Di peringkat ini, sudah wajar untuk kami berhubung terus bagi mengatur diskusi tentang plan yang  selanjutnya.
Pada bulan Mei 1999 buat pertama kalinya saya berutus email dengan calon yang belum pernah dilihat wajahnya, belum pernah didengar suaranya, jauh sekali keluar bersama. Gugup sekali. Hingga mahu dibahasakan saudari atau ukhti atau awak atau kamu, saya menulis dan memadam berjam-jam lamanya.
Setelah saling bertukar beberapa email, kami mencapai kata sepakat untuk bertunang. Saya dari kota London dan beliau dari Galway, kami sama-sama pulang ke Malaysia.
Saya telah datang ke rumah beliau bersama abang dan bapa saudara kami untuk menetapkan tarikh majlis bertunang dan hal-hal lain yang berkaitan. Di hari itulah, buat pertama kalinya, saya dipertemukan dengan seorang wanita bernama Nazhatul Muna, di hadapan ayah dan bondanya dengan penuh restu, adab dan aturan agama. Ia sebuah pertemuan yang amat bermakna dan saya memuji Allah atas nikmat ini, nikmat melihat bakal teman sepanjang hayat di dalam majlis yang paling baik, iaitu di bawah bumbung rumahnya, di depan mata ayah dan ibu yang melahir dan membesarkannya.
Tiada yang lebih baik dari itu.
pinang
Tiada dalam gambar. Sedang ‘bersembunyi’ di dalam kereta
Bertunanglah (Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan – petikan Aku Terima Nikahnya) kami selama dua tahun dan seperti yang dipersetujui bersama, ikatan perkahwinan dilangsungkan pada September 2001 (Erti Sebuah Perkahwinan – petikan Aku Terima Nikahnya). Ziad yang juga sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya, menumpang gembira hadir sama mengiringi majlis perkahwinan kami.
KHIDMAT ORANG TENGAH
Itulah secebis kenangan, kisah bagaimana saya bertemu jodoh dengan Ummu Saif.
Peranan Ustaz Wan dan Dr. Faiz serta isteri masing-masing, sinonim dengan fungsi Nafisah binti Umayyah, yang menjadi orang tengah di antara Khadijah bint Khuwailid dan Muhammad bin Abdillah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika Khadijah melamar baginda.
Tindakan Khadijah mewakilkan Nafisah untuk merisik dan seterusnya menyatakan hasratnya mengambil Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai suami, adalah suatu aturan prosedur mencari jodoh yang terkandung di dalamnya hikmah yang besar.
1081
Peranan orang tengah inilah yang harus diberikan perhatian oleh para muslimin dan muslimat hari ini dalam ikhtiar mereka mencari jodoh. Sama ada orang tengah itu merupakan ibu bapa mereka sendiri, atau pun individu-induvidu yang diyakini sifat amanah dan kewibawaannya, mereka bisa mengusahakan urusan mencari jodoh ini.
Malah jika peranan orang tengah ini diinstitusikan di bawah unit-unit secara sistematik, ia adalah lebih baik dan bermanfaat. Bagi gerakan-gerakan Islam dan kumpulan dakwah yang menghimpunkan sekelompok besar ahli yang sepemikiran dan memegang nilai serta pandangan hidup yang sama, proses untuk mencari jodoh yang diinstitusikan di bawah Unit Bait Muslim, adalah suatu tradisi zaman berzaman yang amat berguna.
Peranan Unit Bait Muslim ini bukanlah untuk memaksakan jodoh sesama pengikut! Malah jika ada pemaksaan berlaku di mana-mana ia adalah kepincangan mereka sendiri, biar atas nama apa sekali pun ia. Unit Bait Muslim ini amat tipis perbezaan di antara buruk dan baiknya. Ia amat bergantung kepada persepsi atau cara memandang seseorang. Apabila fungsi Unit Bait Muslim disanggah dengan perkataan sedemikian rupa, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang dipandang serong dan negatif oleh golongan yang mendengar di atas angin.
Akan tetapi peranan Unit Bait Muslim ini adalah sebagai ikhtiar yang syar’ie untuk golongan yang tidak berdating ini bertemu jodoh. Konotasinya adalah USAHA dan PERANAN ORANG TENGAH.
Khidmat orang tengah dapat mencegah keaiban daripada berlaku. Ia juga boleh menjaga maruah kesemua pihak yang terbabit. Sama ada pihak tengah ini berkhidmat secara individu, atau secara berorganisasi, ia adalah wasilah mengusahakan jodoh dan perkahwinan yang amat penting untuk difahami dan dimanfaatkan.
ORANG ‘BAIK’ TIDAK BERDAKWAH
Apa yang menjadi kesulitannya ialah, jika dahulu golongan yang tidak bercouple ini lazimnya terbabit dengan kegiatan keagamaan, dakwah dan kebajikan secara berorganisasi dan mereka biasanya dibantu oleh Unit Bait Muslim di dalam organisasi masing-masing. Dulu-dulu, orang yang menolak evolusi cinta, menolaknya dengan semangat dakwah. Tetapi kini, ramai sahaja golongan yang ‘baik-baik’, tetapi tidak mempunyai sebarang komitmen dengan kerja-kerja dakwah secara sistematik dan berorganisasi.
Di antara kesan sampingannya ialah, tiada siapa yang menguruskan soal jodoh mereka, dan mereka pula tidak punya sebarang wasilah ikhtiar lain untuk tujuan tersebut.
Ibu bapa pula tidak memainkan peranan mereka dalam hal ini, atau jika ada usaha sekali pun, timbul pula pertentangan nilai antara cara menimbang ibu bapa, dengan si anak. Buntu sekali!
Mungkin dalam situasi seperti ini, agensi mencari jodoh Muslim, menjadi salah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan. Syarikat atau pertubuhan seperti MUSLIM MARRIAGE AGENCY setakat ini berperanan secara efektif, terhormat dan berkesan dalam mengatur proses mencari pasangan hidup di kalangan Muslim.
Apa yang penting adalah  USAHA dalam lingkungan BATASAN AGAMA.
Kesimpulan daripada keseluruhan perkongsian ini, lawan merompak bukanlah menganggur. Lawan pergaulan bebas bukanlah duduk semata menanti jodoh datang menjelma.
Jodoh tidak datang bergolek.
Dipetik dari: ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Tuesday, February 8, 2011

Special February : Couple Islamik?

 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt...

Bermula sebuah cerita...

"Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All the best in everything you do… Jaga diri & iman baik-baik ya~…
-Amin, UK -"

Aku mencapai telefon mobilku dan membelek-belek SMS ucapan hari lahir yang diterima minggu lepas. Cukup ringkas. Namun. Aku masih tertanya-tanya mengapa Amin hanya mengirimkan SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-tahun sebelum ini pasti sudah ada kad besar dan bermuzik akan tiba beberapa hari sebelum hari lahir ku. Dah lah pakai nombor orang lain, siap tulis nama penuh aku pula tu. Tak pernah pula dia tulis macam ni… Ish, hati mula ragu-ragu. Menyangka sesuatu yang tak baik sedang berlaku.
Adakah dia sudah ….? Argh, tak mungkinlah! Dia dah kata takkan ….

Aku teringat ketika dia pulang bercuti pada musim summer tahun lepas. Namun, sebelum itu aku sudah rasa banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia telah mula banyak memberi nasihat-nasihat baik ketika kami berhubung sama ada melalui telefon, SMS, email, YM dan juga friendster. Dan ketika itu. Aku mendapat cuti seminggu dan telah bercadang untuk turun ke KL dengan kakak melawat saudara-mara, dan sambil-sambil itu bolehlah juga berjumpa dengan si Amin. Setahun sekali tak salah rasanya. Melepas rindu lah sedikit. 'Boring' juga kalau asyik berhubung melalui telefon saja. Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik setiap hari pun boleh.

Di KL. Aku telah menghubunginya dan cuba mengajak untuk berjumpa. Dia menolak ajakan aku untuk keluar berjalan-jalan daripada pagi sampai ke petang. Dia hanya boleh berjumpa dengan ku seketika sahaja pada petang hari. Walaupun dia beralasan sibuk, tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana. Nak tak nak. Aku terpaksalah menerima sahaja cadangannya. Asal boleh berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan petang itu kami taklah ke mana-mana sangat. Ronda-ronda sahaja dengan kereta Wira kesukaannya itu. Selepas ber-Asar di Masjid Wilayah, Amin membawa aku ke sebuah restoran dan kami makan 'early dinner' di situ. Kemudian, satu detik yang agak 'mengingatkan' bagi aku adalah sewaktu kami dalam perjalanan menghantar pulang aku ke rumah saudaraku…

Dia ada bertanya "Apa beza kita dengan mereka kat situ tu ye?" Amin menunjuk-nunjuk ke arah beberapa pasang 'couple' yang sedang lepak berdua-duan di tempat-tempat duduk sepanjang sebuah taman. Aku tergamam sekejap. Huh. Agak menduga, tapi 'simple' saja. " Ala , kita ni baik sikit. Tak ada pegang-pegang. Tutup aurat elok. Sampai waktu solat, kita solat. Erm… Islamik sikit lah pendek cerita!."

"Hmm.." Amin hanya mengangguk-angguk.

"Dalam Islam ada ke macam ni?" Amin menduga lagi.

Erk… Semakin terkesima aku dibuatnya. Kali ini aku terus diam terpaku. Aku tahu dia lebih banyak tahu selok-belok masalah benda-benda macam ini. Kalau aku jawab lagi, mesti dia 'counter' lagi. Huh. Diam sahaja lah!

"Erh, abaikan saja lah. Saja saja saya tanya…" Amin cuba menyedapkan hati.

Tidak lama selepas Amin terbang pulang semula ke UK untuk menyambung sesi pelajarannya yang baru, dia ada menghantar satu email kepada ku untuk menerangkan kedudukan dan tujuan dia bertanya akan hal itu. Aku sudah mula faham sedikit-sebanyak yang aku perlu mengawal hubungan yang masih tidak 'rasmi' ini. Dan sejak daripada itu dia tidak pernah langsung menelefon aku. SMS pula hanya bertanyakan tentang pelajaran sahaja. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Namun. Aku bersyukur dan gembira kerana dialah yang membuat aku berubah untuk jadi lebih baik dan lebih faham Islam. Jika dulu pakaian aku agak ketat dan singkat, kini sudah banyak yang labuh dan longgar aku beli. Tudungku pun pernah ditegurnya agar melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang memperkenalkan padaku apa itu usrah dan dakwah. Dia juga ada berpesan - 'Jaga hubungan dengan Allah tu lagi penting. Insya Allah, kemudian Dia akan jaga hubungan kita.'

Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Hatiku masih tak tenteram memikirkan SMS ucapan hari lahir itu. Macam-macam sangkaan buruk bermain-main dalam hati yang mula busuk ini. Aku masih setia menanti kepulangannya. Dan aku yakin dia juga setia pada aku. Aku tak pernah memikirkan lelaki-lelaki lain selain dia. Dan aku yakin dia juga tak pernah nak menggatal dengan perempuan-perempuan lain. Dia taklah seperti kebanyakan lelaki yang 'playboy' pada masa kini.

Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata sedemikian.
'Tuuut. Tuuut...' Nada dering SMS berbunyi. Nombor Amin yang terpapar.
"Esok free tak? Boleh kita chatting?"
"Boleh... Saya free saja." jawab aku ringkas. Erm, mesti dia saja nak buat 'surprise.' Aku dah agak dah, takkanlah dia hantar SMS saja untuk 'wish birthday. Aku. Keyakinan aku mula bertambah. Dia masih sayang padaku.
"Ok.thank you..." balasnya pula.
Keesokannya. Aku menanti awal dia online.
'untuk. untuk. untuk..' Amin has signed in.
Oh, tepat sungguh waktunya...
Amin: assalamualaikum wbt.
Wani: …
Amin: apa khabar? sihat? iman baik?
Wani: alhamdulillah. .. sihat2..=) awak?
Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman selalu turun naik sejak kebelakagn ni… tapi tak mengapa, ok saja semua
Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw, thanks for the birthday wish last week...
Amin: … tak balik. banyak kerja sikit tahun ni… lagi pun saya nak try bekerja… cari duit...
Wani: wah, rajinnya... baguslah!
Amin: hurm...
Amin: study macam mana?
Wani: ok saja... new sem ni berat sikit.. Jadual pack.
Amin: oic...
Amin: tak mengapa, study rajin2 ye..

Amin: hurm, dah lama nak tanya ni sebenarnya…
Amin: hurm…
Wani: apa dia? tanya lah… sila2..
Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm, apa pendapat awak tentang kita sekarang?
Wani: erh… macam awak kata dalam email tu dulu yang kita ni kan 'kawan'… tak lebih daripada tu… tapi, special sikit… tiada couple-couple macam org lain… declare pun tak kan ?
Wani: so, statusnya kawan saja lah…
Amin: hurm…
…..
Wani: erh, tak betul ke?
Amin: hurm.. ni opinion saja lah - antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tiada perhubungan yang lebih akrab melainkan hubungan suami isteri sahaja… yang lain-lain.. atas alasan apa sekali pun ia tak patut diterima..
Aku tergamam seketika. Tertampar keras juga rasanya…
Wani: jadi…
Amin: saya rasa kita harus stop… stop untuk berpisah…
Amin: sebab……
Amin: sebab saya sedar yang semua ini adalah salah dan juga keliru…
Amin: benda ni akan buatkan hati ternodai… zina hati akan banyak berlaku…
Amin: walaupun kita jauh, tak call, tak jumpa dll, tapi hati tetap ber'zina'…
Amin: huh…
Amin: saya bercakap itu dan ini pada org ramai… tapi, dalam masa yang sama saya meyelindungi sesuatu yang tak sepatutnya saya buat…
Amin: kononya Islamik…
Amin: saya rasa cara ni tak betul… kita sebenarnya yang dah menyarungkan benda yang tak baik ni dengan Islam… then, org nampak Islamik…
Amin: saya rasa tak ada beza pun kita dengan org lain yang duduk ber'couple2' ini..
Amin: hurm…..
Amin: jadi, saya rasa kita harus berpisah…
Amin: demi menjaga diri…& sama-sama untuk kembali harungi hidup dalam redha Ilahi…
Amin: sorry… sorry banyak-banyak untuk segala apa yang telah kita buat…
Amin: dan sorry juga sebab telah membawa awak ke jalan yang lupa pada-Nya…
Amin: andai ada jodoh, moga dipertemukan…

Astaghfirullahalazi m. Aku beristighfar panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air mata jahiliyah ku deras menitis membahasi meja. Sedikit terpercik pada keyboard laptop. Aku tak sangka perkara seperti ini akan terjadi sepantas ini. Ringkas, lembut, berhikmah serta points-nya yang jelas membuat aku tak dapat membantah dan berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan sesekali timbul rasa kesal pun ada. Tapi, semua itu tak bermakna lagi…

Aku tak mampu lagi untuk menyambung perbualan tersebut. Ku pasrah dan terima sahaja keputusan yang dibuat oleh Amin itu. Di saat ini, hanya Allah yang bisa mendengar bisikan hati rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon keampunan atas segala kekeliruan yang telah aku timbulkan. Rupanya selama ini aku telah tertipu dengan biskan musuh, mengikut jalan taghut, mencampurkan halal dan haram, serta mengandunkan yang Islam dan al-hawa…

Cinta hakiki hanyalah pada Allah…

Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul iman yang pernah dibincangkan oleh naqibah aku tak lama dahulu; pertama-tama sekali mestilah mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada makhlukNya, kemudian mencintai seseorang itu hanya kerana Allah dan akhir sekali, mesti benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan dirinya ke dalam api neraka. Dengan demikian barulah dapat merasai kemanisan iman itu.

Hanya Allah sahajalah yang layak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan ini dan moga-moga diringankan beban yang kupikul ini.

Aku terus menjawab ringkas….
Wani: thanks & sorry too… saya terima… Alhamdulillah…
Wani: moga awak bahagia dan sukses selalu di sana . doakan saya juga.
Wani: wassalam.
Signed out

Aku merasakan hubungan tiga tahun yang terbina itu memang salah pada dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat mewujudkan sebuah keluarga yang menjunjung Islam jika asasnya terbina melalui cara al-hawa? Ya, kami memang saling menasihati dan bertazkirah, saling mengejut Qiamulali, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi semua itu memang tak betul caranya. Aku sedar yang kami telah mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat peribadi…Astaghfirullah. . Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.



"Sayang… Cepat turun ni. Nurul dah nak sampai." Ops! Tersedar daripada lamunan kisah 15 tahun lepas itu tatkala mendengar sahutan suamiku, Muhammad Aqil untuk bersiap menyambut tetamu istimewa kami Nurul dan Amin.

"Ya bang, Wani turun…"

Alhamdulillah… Siap semuanya. Aku menutup lid laptopku dan bergegas turun ke bawah. Aku sudah bersedia untuk membentangkan 'presentation' kepada beliawan-beliawanis negara mengenai Cinta Remaja dalam program 'Belia Negara 2057' esok. Aku sangat bersyukur menjadi siapa diri aku sekarang ini dan aku mengharapkan belia-belia harapan negara dapat kembali kepada cara fitrah yang sebenar dalam menguruskan soal cinta.

*********The End*********

Cinta-Antara Tuntutan Fitrah & Sempadan Syariat.
~Pilihanraya Kampus Bakal Menggegar~


Suasana hangat pemilihan kepemimpinan gerakan mahasiswa dalam memacu kepemimpinan baru di setiap kampus  universiti awam akan kembali panas yang kian hampir waktunya. Pastinya semua mata akan tertumpu kepada situasi politik kampus dimana pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau dikenali juga sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) apabila pemilihan ini dijangka berlaku pada bulan ini. Ada juga suara-suara yang mengatakan keputusan pilihanraya kampus juga akan menjadi penunjuk aras setara Pilihan Raya Umum Negara.
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) selaku gerakan mahasiswa yang turut memainkan peranan dalam keterlibatan dalam pilihanraya kampus ini berpendapat isu politik kepartian dan perkaitan dengan pilihanraya Negara adalah kurang wajar dikaitkan dalam Pilihanraya MPP ini. Malah KARISMA turut menggesa tiada percampuran badan politik kepartian yang mencampuri urusan politik kampus.
Mahasiswa selaku golongan intelektual mempunyai kekuatan dan daya analisa yang baik dengan ilmu serta tidak memerlukan campur tangan luar yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi. Malah turut merencatkan daya kepemimpinan dan inovasi para mahasiswa. Budaya melabel sebagai Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa hanya menjarakkan lagi hubungan dan daya kerjasama antara mahasiswa yang semestinya mempunyai misi dan visi yang selari dengan aspirasi universiti, Negara dan agama.
KARISMA yakin bahawa keterlibatan dalam politik kampus ini wajar dmanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa dalam mendapatkan pengalaman yang sangat berguna yang mana persis kepada Pilihanraya Umum Negara. Pembentangan Manifesto, perang poster, perang saraf, ucapan awam, sudut pidato, peraih undi, jentera pilihanraya dan sebagainya adalah aset penting mahasiswa yang tidak akan dapat dipelajari di dalam dewan kuliah. Malah tidak semua mahasiswa yang akan dapat merasa kemanisannya.


Kita boleh melihat bagaimana keterhadapannya suara mahasiswa di Negara jiran seperti Indonesia yang responsif bukan setakan isu-isu kampus tetapi juga isu nasional dan global. Malah kebangkitan yang berlaku di Tunisia, Jordan dan Mesir sekarang ini turut dikaitkan dengan mahasiswa dan pemuda. Semangat dan rasional ini yang perlu diperhalusi oleh mahasiswa di Negara kita. Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga perlu seiring membawa momentum suara mahasiswa ini.
KARISMA menggesa agar mahasiswa agar turun menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih dengan penuh kesedaran dan bukannya kerana gesaan ataupun paksaan  daripada pengurusan universiti. Kesedaran ini perlu wujud dalam diri mahasiswa dan prestasi ini boleh dilihat melalui peratus keluar mengundi yang akan dilaporkan kelak. Rata-rata universiti masih ada yang peratus keluar mengundinya dibawah paras 50%. Sekretariat Pilihanraya Kampus juga perlu serius dalam perancangan dan pelaksanaan pengundian dan bukannya hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Waktu pengundian, tempoh pengundian, lokasi dan segalanya perlu dirancang dengan baik dan membantu mahasiswa mendapatkan informasi.
Jika mahasiswa masih kurang kesedaran untuk turun mengundi di alam kampus, maka inilah antara kesan yang menjadikan mahasiswa dan belia tidak mendaftar sebagai pemilih Pilihan Raya Umum yang sekaligus melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab mereka kepada Negara dalam memilih pemimpin yang berwibawa. Ini cukup merugikan malah menolak suara yang ada untuk mencadangkan pembaharuan kepada Negara. Transformasi Mahasiswa Menjayakan Agenda Negara.
Ayuh turun jalankan tanggungjawab anda!
MOHD IQBAL HAKIM BIN MOHD ADNAN
JK PENERANGAN
KELAB RAKAN SISWA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)

sumber: Harakahdaily 8 Febuari 2011

Sunday, February 6, 2011

~Titik Mula Perjuangan MAHASISWA 2011~

Dalam era tahun baru 2011 ini, mahasiswa-mahasiswa bakal berdepan pilhanraya kampus (PRK). PRK yang berlangsung setiap tahun menyaksikan pelbagai rentak politik kampus yang dicaturkan oleh mahasiswa yang menarik tumpuan banyak pihak untuk dianalisa.
Kumpulan-kumpulan mahasiswa yang sentiasa terlibat dengan PRK akan menjadi kayu ukur intelektual dan kematangan mahasiswa kepada masyarakat umum samada kumpulan Pro-Mahasiswa ataupun Pro-Aspirasi. Menjadi aktiviti normal bagi masyarakat melabelkan Pro-M sebagai kumpulan berorientasikan Pro-Pembangkang dan Pro-A sebagai Pro-Kerajaan.
Pro-Mahasiswa seperti Pro-M UM, GMUKM, WUFI (UIAM), GMS KUIS dan sebagainya merupakan kumpulan yang dianggap agresif dan berani dalam mempertahankan pendirian mereka. Namun, pendekatan diplomatik tetap menjadi strategi utama melihat keadaan dan kondisi yang sesuai mengikut kampus masing-masing. Bagaimana pun, Pro-M berusaha untuk mengambil kerajaan mahasiswa di kampus semata-mata bertujuan untuk mengembalikan hak-hak mahasiswa dan ingin menegakkan kebenaran di kampus.

Pro-Aspirasi pula selalu dimomokkan sebagai kambing hitam pihak pentadbiran universiti dek kerana hubungan Pro-A dengan pihak atasan yang terlalu rapat. Mereka menggelarkan kumpulan Pro-A sebagai penjunjung aspirasi universiti dengan merealisasikan visi dan misi sesuatu universiti tersebut.
Ada pun kedua-dua kumpulan mahasiswa ini, sehingga hari ini masih tidak jemu untuk meneruskan agenda masing-masing. Tahun 2010 menjadi saksi pelbagai aksi daripada kedua-dua pihak termasuk campur tangan pihak pentadbiran boleh dilihat. Hanya mahasiswa yang boleh menilai kumpulan yang sepatutnya mereka sokong dan dokong dalam memilih pimpinan mahasiswa.
Justeru, PRK yang semakin dekat ini bakal menjadi pemula dan titik awal kepada kebijaksanaan gerakan mahasiswa di setiap kampus dalam mengatur strategi untuk menjayakan agenda besar, bukan 'berjalan di atas angin'.
Mahasiswa dicadangkan supaya melihat kriteria-kriteria utama untuk memilih pemimpin:
1- Agenda utamanya adalah Islam
2- Menyeru kebaikan dan mencegah kemunkaran adalah kewajipan
3- Kebajikan mahasiswa diutamakan
4- Hubungan dengan manusia sekitarnya berakhlak
5- Kepimpinannya dirasai bukan dibenci
6- Keberanian mencetus solusi
Kriteria di atas bukanlah dicadang atas dasar fakta dan bersifat pokok, ia hanyalah cadangan penulis yang mendambakan pemimpin mahasiswa Islam yang hebat.
Kesimpulannya, mahasiswa hari ini tidak perlu tergopoh-gapah dalam berjuang kerana Rasulullah sendiri bersabar dalam menyampaikan seruan Islam. Hal ini bukanlah bermaksud mahasiswa hari ini perlu duduk bersahaja menantikan 'bulan jatuh ke riba'. Kebenaran dan hak mestilah diperjuangkan secara bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Semoga pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa hari ini terus menyubur dari semasa ke semasa. Universiti adalah tempat melahirkan pemimpin yang berjiwa kepimpina bukan melahirkan pelajar yang bekerja.
WE UNITE FOR ISLAM



MOHAMAD SOLEHIN BIN BAKRI

Saturday, February 5, 2011

~Jadilah orang yang Disukai,disayangi & Dicintai~


Tentu kita akan rasa gembira, seronok dan paling penting rasa dihargai apabila kita tahu bahawa ada seseorang menyukai dan menyayangi kita.

Perasaan kita rasa berbunga-bunga.Dan timbul sedikit rasa bangga.

Bayangkan, kehadiran kita disenangi, dan orang lain merasai kehadiran kita. Kewujudan kita dihargai dan kita benar-benar rasa selesa dengan suasana sebegitu.

Itu fitrah dan naluri insan. Perasaan ini harus kita lorongkan ia pada suluhan syara’ yang sahih. InsyaAllah.

Apakah anda tidak berasa cemburu ada orang yang sentiasa disukai kawan dan lawan? Sedangkan anda sentiasa dijauhi kawan, apatah lagi lawan. Tiada siapa yang ingin menelefon atau mengantar SMS kepada anda.

Tiada yang sudi, meluahkan perasaan kepada kita
Tiada kiriman khabar menanyakan kita
Tiada pemberian hadiah di hari kegembiraan kita
Tiada teman berbicara di saat kelapangan
Tiada suasana ceria dan mengembirakan
Tiada insan yang selalu bertanya khabar
Tiada siapa,

Tiada dan tiada

Hidup tanpa kasih sayang

Hidup benar-benar sunyi, kesepian dan kita hidup bersendirian. Tiada teman berbicara dan bertukar-tukar perasaan. Dan, soal ini – saya ingin mengajak – untuk kita membina dan meluaskan empayar perkenalan, persaudaraan dan persahabatan.

Langkah yang paling utama untuk menjayakan – ialah kita perlu menyemai sifat untuk menyukai orang lain. Dan erti kata mudah kita perlu belajar untuk menyayangi semua orang disekitar kita.

Orang yang banyak memiliki sifat sayang dalam dirinya akan menarik orang agar sayang kepadanya. Semua orang – tidak kira muda, tua, lelaki, perempuan, orang besar, orang kecil- perlu disayangi dan dihargai, agar kita mudah dihormati.

Sifat kasih sayang adalah sifat yang sangat baik dan sangat-sangat dianjurkan dalam Islam. Islam adalah agama kasih sayang. Malah, Allah SWT mengiktiraf bahawa setiap orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, dahulukanlah pandangan kasih sayang dan berbaik sangka terhadap orang lain sebelum bersangka buruk dan membenci diri mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Mahukah kamu, aku beritahukan tentang sesuatu yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Sebarkanlah salam di antara kamu.”

(Riwayat Muslim)


Hati kita adalah milik Allah SWT. Yang memberikan kasih sayang ini adalah Allah SWT. Kita sama-sama berusaha untuk mewujudkan perasaan ini dikalangan kita. Dengan usaha, doa dan munajat kepadaNya, insyaAllah kita akan disukai, disayangi, dihargai, dihormati dan dicintai.

Bagaimana mahu menjadi orang yang sentiasa disukai?

(1)Apabila berbicara, lahirkan ia dengan tutur kata yang sopan, manis dan tiada sifat kepura-puraan.

(2)Sentiasa tersenyum, dan cuba menjadikan senyuman yang menyenangkan itu sebagai imej kita.

(3)Berusaha untu menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan pembalasan.

(4)Menghindari sifat mementingkan diri sendiri. Mengutamakan kepentingan khalayak ramai.

(5)Menjaga aib orang dengan merahsiakannya. Sekiranya kita menjaganya, Allah akan memelihara aib kita.

(6)Selalulah memberikan hadiah penghargaan kepada individu yang dikenali walaupun hadiah itu murah dan simple. Yang penting adalah nilai penghargaan kepada insan.

(7) Berikan pujian, galakan dan penghargaan kepada orang lain dengan keikhlasan dan kejujuran.

(8)Membalas hadiah yang diberikan oleh sahabat dengan hadiah yang lebih baik atau lebih tinggi nilainya.

(9) Selalu membelanja sahabat, kawan dan kenalan, jangan cuma selalu memakan belanja kawan.

(10) Sentiasa perbaharui niat persahabatan, perkenalan, dan persaudaraan kerana Allah SWT.

(11)Sentiasa bersihkan hati dengan amalan soleh seperti memelihara solat, membaca Al-Quran, dan sebagainya. Hati yang bersih, akan dicambak kasih sayang di dalam hati manusia lain untuk mengasihinya.

Bermula dengan suka, perasaan kasih dan sayang akan tersemai kukuh di hati. Dari sinilah, perasaan cinta sesama insan akan melebar di kalangan manusia di sekitar kita. Saya yakin, dengan perasaan inilah kita akan menjadi kuat dan terus hidup dengan suasana yang harmoni, aman dan tenteram di dunia ini.

Jom kita berkenalan, bersaudara, berukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah.

Salam ukhuwah fillah daripada ana untuk kalian.



Mohamad Solehin Bin Bakri
msb_rg8@yahoo.com



Wednesday, January 19, 2011

TALK : "SIGNS OF THE CREATOR 2"




Sukacita dimaklumkan Pusat Islam dengan kerjasama Saba' Islamic Media ,  Perkim Negeri Kelantan akan menganjurkan Sign Of The Creator 2 mengikut maklumat berikut:

Hari/Tarikh    : 26 Januari 2011 (Rabu)
Masa          : 2.00 petang - 6.00 petang
Tempat        : Dewan Utama USM

Penceramah    :
            1. Dr. Ahmet Oktar Babuna (Harun Yahya Foundation)
            2. Dr. Cihat Gundogdu (Harun Yahya Foundation)
            3. Brother Shah Kirit (Islamic Information Service (IIS))

Tajuk          : - Random Evolution or Intelligent Creation
              (Western Debate vs Islamic Perspective)
            - Evolution Deceit (Latest Update)
            - Humanity On The Verge Of Destruction (The Islamic Solution)
            - The Quran (A Gift to Mankind)
            - Creation Of The Universe
            - Unity Of Faiths
            - Modern Science Finds God


Semua dijemput hadir beramai-ramai.

"Praktikaliti Ke Arah Kehidupan Berkualiti"







Mohamad Solehin Bin Bakri
Presiden,
Rakan Masjid USM Kampus Kesihatan