Friday, March 2, 2012

Sambungan: GOLONGAN YANG TERCICIR DI SEPANJANG JALAN DAKWAH

FASAL KEDUA

Sebab-sebab keciciran
Sebab-sebabnya banyak, sama ada berhubung dengan:
  1.  Gerakan
  2. Anggota Individu
  3. Faktor-faktor luar

Sebab-sebab yang berhubung dengan gerakan:
1. Kelemahan sudut tarbiyyah
  • Tarbiyyah dalam gerakan jama’ah merangkumi aspek tarbiyyah yang 7;Ruhiyah, Harakiyah, Siasiyah, Badaniyah, Kendiri, Thaqafiah, Kekeluargaan Islam
  • Tubuh harakah akan menjadi lemah menurut kadar kelemahan tarbiyyahnya
  • Semua ahli anggota harakah samada pimpinan (qiyadah) atau barisan pejuang (jundiyyah) mesti mengikut tarbiyah biar betapa sibuk atau dalam apa juga keadaan sekalipun. Pendapat beberapa ahli bahawa tidak perlu mengikuti program tarbiyah hendaklah ditolak, dalam falsafah dakwah sesorang itu pasti akan diuji dan fitnah senantiasa melanda hati manusia, justeru benteng pertahanan yang kukuh amat penting dalam menghadapi situasi ini.
  • hubungan individu dengan harakah hendaklah berasaskan kepada asas hubungannya dengan Allah dan Islam. Harakah merupakan wasilah (alat) dan bukan ghayah (matlamat)
  • adakah kita boleh kita mencari dua kepentingan serentak dalam harakah iaitu kepentingan diri dan kepentingan Islam?
  • Seseorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw; aku mengambil sikap untuk melakukan sesuatu hanya semata-mata kerana Allah, dan aku mahu supaya Allah melihat tempatku (negeriku). Rasulullah tidak menjawab apa-apa sehingga turun firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 110.

Rasulullah saw pernah bersabda, ` Aku paling takut berlaku keatas umatku syirik dan keinginan nafsu yang tersembunyi…mereka tidak menyembah matahari, bulan atau patung, tetapi mereka memperlihatkan amalan-amalan mereka dan mempunyai keinginan yang tersembunyi sehingga apabila salah seorang dar mereka berpuasa, kemudian dibantah oleh nafsunya dengan sesuatu keinginan maka dia meninggalkan puasanya itu’
Betapa hebatnya godaan nafsu dan betapa pentingnya keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah…. justeru melalui sistem tarbiyah yang baik mampu menghasilkan ahli yang paham akan tujuan dan peranannya dalam gerakan jama’ah itu sendiri..InsyaAllah

2. Tidak meletakkan seseorang ditempat yang sesuai
  • proses pemilihan tugas yang sesuai untuk seseorang tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa ataupun secara mendadak. Tabi’i marhalah(peringkat) yang akan dilalui perlu dikaji terlebih dahulu, daya dan keupayaan yang diperlukan pada setiap marhalah perlu ditentukan.
  • Kegagalan mengenal pasti keupayaan akan menyebabkan kegagalan dalam persediaan bantuan, seterusnya akan berlakunya kecacatan. Kecacatatan yang membesar akhirnya mengancam `amilin (barisan pekerja) dan juga`amal (kerja) itu sendiri.
  • terdapat beberapa contoh dalam buku yang menceritakan kesan pabila kuasa harakah itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya

3. Tidak membahagikan kerja kepada anggota
  • pembahagian ini penting bagi mengelakkan kelemahan dikalangan ahli. Realiti sebenar, harakah mempunyai ramai ahli namun pada kebiasaanya bukan semua ahli yang diberi tugas.
  • harakah perlu mengetahui kecenderungan ahli-ahli, manakala ahli pula perlu bertanggungjawab dan bergerak aktif dengan tidak mengambil kira kerja dan kedudukannya.
  • ada sesetengahnya hanya memberikan tugasan kepada peringkat muda, natijahnya peringkat tua (yang dikatakan lebih matang dalam gerakan) menjadi semakin renggang dengan harakah. Kerenggangan mungkin disebabkan oleh kesibukan dan mungkin juga kesilapan harakah memilih tugas yang tidak sesuai untuk mereka.

4. Tidak mengambil berat hal ahli
  • ketiadaan perhatian terhadap kedudukan ahli dan suasana mereka juga faktor kejatuhan ahli dari harakah. Setiap individu punyai gaya berbeza, cabaran dan permasalahan masing-masing yang sekiranya dikongsi mampu meringankan bebanan serta mewujudkan keyakinan serta kepercayaan dalam jama’ah. Cabaran & kesusahan dalam da’wah tidak akan menjadi ringan/ hilang kecuali dengan keikhlasan sebenarnya kepada Allah dan adanya perasaan ukhuwwah.
  • layanan sama rata dalam gerakan jama’ah perlu diamalkan dalam apa jua keadaan antara persediaan (ahli), kepimpinan dan pengganti (ahli yang bakal menjadi pimpinan)
  • Sabda Rasulullah saw: bandingan orang-orang mu’min dalam kasih sayang dan kasihan belas mereka antara satu sama lain samalah seperti satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya mengadu sakit maka seluruh anggota yang lain turut berjaga malam dan merasai sakit.

5. Tidak menyelesaikan masalah dengan segera
  • masalah senantiasa melanda kehidupan seharian manusia. Adakalanya masalah itu dianggap remeh, namun pabila dibincangkan mengambil masa yang lam auntuk diselesaikan dan mungkin juga menimbulkan masalah baru. Adakalanya pula masalah itu dianggap besar tetapi hanya memerlukan sepatah kata ’maaf’ ataupun satu ziarah bagi menyelesaikannya. Ada juga yang sebaliknya..pastinya setiap masalah itu ada jalan penyelesaian.
  • Perbincangan yang segera membolehkan masalah tersebut diseleasikan dengan segera dan mengelakkan natijah-natijah buruk sekiranya masalah tersebut berleluasa.
  • masalah yang tidak diselesaikan segera mungkin akan mendatangkan masalah lain yang lebih kronik


6. Pertikaian dalaman
  • faktor yang paling bahaya, menjadi faktor pemusnah & peruntuh harakah, menimbulkan suasana pertengkaran sehingga melambatkan gerak kerja sekaligus menarik campur tangan pengaruh luar.
  • antara contoh yang berlaku pada zaman Rasulullah saw adalah pertikaian yang timbul antara puak ’Aus dan Khazraj setelah mereka dihasut oleh orang yahudi. Orang yahudi yang berasa sakit hat melihat keakraban puak ’Aus & Khazraj, telah menceritakan sejarah lampau tentang perang ”buath” yang berlaku antara dua puak ini. Setelah itu, mereka saling bermarah-marahan. Pabila Rasulullah saw mendapat berita tentang kejadian ini, baginda mengingatkan mereka adakah mereka masih bersama seruan jahilliyah ataupun seruan Allah, akhirnya mereka sedar & bermaaf-maafan semula.
  • Firman Allah: Ali-Imran 100-105

7. Pimpinan tidak layak
Antara faktor-faktor penyumbang:
  1. kurangnya kemampuan berfikir dikalangan pimpinan, tidak dapat memenuhi kehendak pemikiran ahli. Namun ada juga yang berupaya disudut pemikiran sahaja, namun lemah disudut yang lain
  2. kelemahan dalam pentadbiran, dimana tidak memaksimumkan kebijaksanaan & kemampuannya dalam mentadbir, serta mengabaikan kaedah-kaedah asas pentadbiran yang perlu

Disini juga diselitkan sifat-sifat yang perlu ada pada pimpinan
1.            mengenali da’wah
2.            mengenal diri
3.            mengambil berat tentang ahli
4.            teladan yang baik
5.            mempunyai pandangan yang mantap
6.            keazaman yang kuat
7.            daya tarikan semulajadi
8.            penuh yakin

Thursday, March 1, 2012

~GOLONGAN YANG TERCICIR DI SEPANJANG JALAN DAKWAH~

FASAL PERTAMA

Gejala keciciran di zaman Rasulullah

Tabi’e semasa zaman Rasulullah saw manusia boleh memilih sama ada Islam ataupun Jahiliyyah, dan mereka menghalang seseorang itu untuk keluar daripada barisan Islam. Mereka menentang sesiapa sahaja yang cuba memecahkan barisan, mencanggahi pimpinan, siasah dan jama’ah mereka.
Namun, realitinya kini, gerakan Islam tidak lagi sama dengan  jama’ah Islam, ertinya keluar daripada gerakan Islam tidak bermakna keluar dari agama (murtad). Jema’ah Islam kini hanya dianggap semata-mata jama’ah tidak lebih dari itu. Tabi’e kedudukan gerakan Islam kini memberi ruang kepada anggotanya keluar meninggalkannya tanpa merasakan dirinya bersalah dan berdosa.

Kisah 1: Kisah Ka’ab bin Malik

Sejarah pemulauan mereka yg tidak menyertai peperangan tabuk

  1. Ka’ab bin Malik (Ka’ab dipulaukan selama 40 hari kerana tidak mengikuti peperangan Tabuk.)
  2. Murarah ibn Ar-Rabi’
  3. Hilal ibn Umayyah
Menurut Ibn Hisham dlm kitabnya

“Orang-orang munafik tidak ikut serta dlm perang tabuk. Demikian juga tiga orang dr orang Islam. Rasulullah SAW setibanya di Madinah mengatakan kpd para sahabatnya ` Sekali-kali jgn kamu berckp dgn salah seorg dari mereka yang bertiga itu.”
Peperangan Tabuk
  • semasa itu keadaan panas, melibatkan perjalanan yang jauh dan bilangan musuh yang ramai
  • ketika itu hasil tanaman sedang masak di Madinah
  • berpihak kepada kemenangan orang Islam


Pedoman:
  • Ka’ab mempunyai kekuatan fizikal & kemampuan pada ketika itu. Namun tidak turut serta dalam peperangan tersebut.
  • Sikap Ka’ab yang bertangguh dalam membuat persediaan telah menyebabkan dia tertinggal daripada menyertai peperangan tersebut. [semangat & cita-cita yang utuh amat penting dalam perjuangan ini demi menangkis serangan dalam diri yang ada ketikanya lemah]
  • Ka’ab berlaku benar & jujur ketika berhadapan dengan Rasulullah setelah baginda pulang dari Tabuk. [kebenaran itu tetap di utamakan..berkata benar walaupun pahit]
  • Ka’ab merasakan seperti seluruh penduduk bumi menolak mereka (Ka’ab, Murarah & Hilal). Rasulullah saw tidak menjawab salamnya. [hebatnya balasan yang Allah berikan]
  • Surat jemputan yang diterima from Raja Ghassan yang mengajak Ka’ab datang ke negerinya setelah dipulaukan oleh penduduk Madinah. Ka’ab membakar surat tersebut, kerana dia sedar orang-orang musyrik sedang ingin mempengaruhinya.
  • Ka’ab memohon ampunan dan bertaubat. Setelah taubatnya diterima, Ka’ab berjanji senantiasa berkata benar dan ingin sedekahkan semua hartanya kepada gerakan Islam namun dinasihatkan oleh Rasulullah saw hanya seperdua daripada harta tersebut.

Kisah 2: Kisah Hatib Abi Balta’ah

Sejarah kebocoran rahsia dan pengkhianatan
Hatib menulis sepucuk surat kepada orang-orang Quraisy tentang persiapan dan tujuan keberangkatan Rasulullah saw dan diserahkan kepada seorang perempuan. Perempuan tersebut menyimpan surat tersebut dalam sanggulnya. ‘Ali berjaya mendapatkan surat tersebut daripada perempuan itu.
Apabila disoal oleh Rasulullah saw, Hatib menyatakan dia masih mempunyai seorang anak & isteri berada bersama dengan kaum Quraisy dan semua ini dilakukan untuk kebaikan anak & isterinya. Rasulullah saw memaafkan Hatib

Firman Allah swt: Surah Al-Mumtahanah ayat 1-4 (Jangan mengambil musuhKu dan musuhmu sebagai teman setia)

Kisah 3: Masjid Dirar

Orang-orang Munafiqin dari kalangan orang-orang Islam cuba pecahbelahkan barisan Islam dengan pembinaan masjid yang zahirnya menunjukkan rahmat namun hakikatnya memecahkan orang-orang Islam. Rasulullah saw memerihtahkan supaya masjid tersebut dirobohkan. Antara lain masjid ini didirikan untuk menyaingi masjid Quba’.
  • Berlaku semasa Baginda sedang berangkat menuju ke Tabuk di kawasan bernama Zi Awam. Surah Al-Taubah ayat 107


Kisah 4: Hadithul Ifik

[ahlul ifki = pendusta-pendusta]
Tuduhan & tomahan orang-orang Munafiq dan penduduk Madinah untuk menjatuhkan Rasulullah saw. Kisah tuduhan ke atas `Aisyah selepas peperangan menentang Bani al-Mustaliq. `Aisyah tertinggal daripada rombongan semasa keberangkatan pulang ke Madinah kerana mencari kalongnya yang terjatuh semasa membuang air. Aisyah dibawa pulang ke Madinah dengan menunggang unta yang ditarik oleh Ibn Ma’tal. Umm al-Mukminin `Aisyah difitnahkan `berbuat jahat’ dengan sahabat Nabi.  Surah an-Nur ayat 11 hingga 16.

Kisah 5: Peristiwa Abu Lubabah

Menurut Ibn Ishaq, Rasulullah saw mengepong Bani Quraizah selama 21 hari, ini menyulitkan merekan dan menyebabkan merekan berasa takut. Setelah yakin Rasulullah saw tidak akan kembali tetapi akan bertempur dengan mereka, Ka’ab Ibn Asad mencadangkan 3 cadangan kepada kaum Yahudi:

  1. kita ikut Rasulullah saw [tidak setuju sebab masih berpegang teguh dengan Taurat]
  2. kita bunuh anak-anak & isteri kita, kemudian kita perangi Rasulullah saw, supaya tiada bebanan yang kita tinggalkan kemudian nanti [mereka tidak bersetuju dan mencadangkan untuk bunuh golongan miskin yang tidak mendatangkan kebaikan]
  3. menyerang Rasulullah secara mengejut pada malam Sabtu [mereka juga tidak bersetuju kerana menjaga kehormatan hari Sabtu, tidak mahu ditukar rupa menjadi binatang seperti yang yang berlaku kepada golongan terdahulu]

Setelah berbincang namun tiada keputusan dapat dicapai, mereka menghantar utusan kepada Rasulullah saw supaya Baginda menghantar Abu Lubabah Ibn `Abdul Munzir supaya masalah mereka boleh diselesaikan.
Setibanya Abu Lubabah disana, semua lelaki bangun berdiri, kanak-kanak dan perempuan menghampirinya dengan tangisan, menyebabkan Abu Lubabah berlembut hati. Pabila ditanyakan adakah lebih baik kami mengikut hukum Muhammad, Abu Lubabah menyatakan ya, kemudian mengisyaratkan tangannya ke tengkoknya (yakni mereka akan disembelih).  Abu Lubabah menyedari yang bahawa beliau telah mengkhianati Allah dan RasulNya, maka beliau dengan segera meninggalkan tempat itu dan mengikat dirinya di salah satu tiang masjid. Beliau tidak akan meninggalkan tempat itu sehinggalah Allah mengampuninya.  Abu Lababah berada dalam keadaan terikat selama 6 hari, setiap kali waktu solat, isteri beliau akan melepaskan ikatan tersebut, selepas solat beliau mengikat dirinya semula. Setelah taubat beliau diterima oleh Allah swt, turunnya wahyu diwaktu Zuhur, beliau mahu Rasulullah saw yang melepaskan ikatan tersebut.
Wahyu yang turun mengenai pengkhinatan Abu Lababah surah Al-Anfal ayat 27.

Kesimpulan fasal pertama:

  1. peristiwa keciciran diperingkat permulaan Islam adalah terbatas. Kebanyakannya menyedari kesilapan dan segera bertaubat ( benteng daripada pemahaman akidah yang mantap)
  2. kesucian niat, tujuan yang betul, keaslian sumber dan kesungguhan untuk menjaga kesatuan barisan adalah amat penting
  3. hukuman yang dapat menghalang berleluasanya gejala keciciran adalah pabila seluruh anggota ja’maah menolak sama sekali sesiapa yang keluar dan menentang jama’ah


Friday, February 3, 2012

~Bila Hilangnya Sifat Malu~



Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah,dapat sedikit masa menulis sempena cuti Maulidur Rasul minggu ni.Mudah-mudahan tulisan ini akan memberi kebaikan kepada diri yang menulis dan pembaca,insyaAllah.

Zaman sekarang telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis.

Pentingnya memiliki sifat malu.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”(HR Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:  Rasulullah saw. bersabda:  “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim)

Selain itu,Nabi saw. juga pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim)

Muslimin-muslimat sekalian,
Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.  Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.  Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.  Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.  Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.  Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.  Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.  Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH subhanahu wata’ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.  Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

"Salam Maulidur Rasul 1433H"

"Menanam Benih Untuk Akhirat, Maka Bekerjalah!"





Mohamad Solehin Bin Bakri,
muslimin2@gmail.com

(^_^)

Monday, January 9, 2012

~Ketika Komander Khalid Al-Walid Dipecat Oleh Umar~




      Marilah kita menelaah semula peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid R.A dari jabatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al Khattab R.A. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' Llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana.

Bagi mereka yang tidak berada di lapangan pentadbiran, mereka melihat Khalid dengan sifat kepahlawanannya yang luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk jabatan panglima agung dan tidak ada sebab yang jelas mengapa ia harus dipecat. Tetapi Umar dengan ketajaman pandangannya dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dengan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata.

Siapa yang tidak kenal Sahabat Rasulullah S.A.W, Saidina Umar al Khattab R.A yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq R.A? Dan siapa pula yang tidak mengenal pakar strategis di medan perang, Khalid bin Al Walid? Kedua-duanya adalah tokoh pejuang di belakanag Baginda Nabi S.A.W.

Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid R.A yang digelar pedang Allah menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jabatannya kepada pengganti yang baru ditauliahkan oleh Umar iaitu Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah. Khalid R.A sendiri barangkali tidak tahu dengan pasti mengapa pemecatan ini dilakukan, tetapi yang jelas ialah Khalid tidak meragui keikhlasan Umar Al Khattab dan menghormati kewibawaan pimpinannya.
Khalid meyakini bahawa pemecatan tersebut adalah untuk kebaikan seluruh umat, bukan kerana motif jahat, bukan motif menjatuhkan Islam, bukan motif kroni dan sebagainya, tetapi adalah bermotifkan keyakinan kepada perjuangan Nabi S.A.W. Kerana itu, Khalid dengan spontan patuh kepada perintah Umar dan tidak terlintas langsung sebarang tindakan penentangan, cakap-cakap mulut yang berterusan dan kerana itu ia tidak menghebohkan kepada orang ramai, khuatir ia akan menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan.

Nabi S.A.W pernah bersabda memuji Abu Ubaidah bin Al Jarrah, "Setiap umat memiliki orang kepercayaan. Dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu Ubaidah bin Al Jarrah". Namun, pujian melangit Baginda S.A.W kepada Abdullah bi Al Jarrah tidak membuatkan Khalid berkecil hati. Jika kita merenung akal manusia yang cetek ini pasti terdetik dalam fikiran kita, "Apa lebihnya Abu Ubaidah bin Jarrah? Apa kurangnya Khalid bin Al Walid?". Namun, bukan soal kehebatan personal kedua-dua tokoh ini, tetapi sebaliknya adalah soal disiplin dan akhlak yang disemat sebaik-baiknya oleh kedua-dua tokoh para pejuang agama Allah ini.

Setelah diserahkan jabatannya kepada Abu Ubaidah, Khalid terus berkhidmat dengan setia di bawah pimpinan yang baru dan semangat perjuangannya itu kekal utuh sama seperti beliau menjadi pemimpin tentera. Komen spontan yang terbit dari tindakan Khalid menampakkan ketulusan hatinya, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar". Inilah jiwa besar Khalid, bukannya menentang pimpinan setelah beliau dipecat, bukannya terbit perasaan tidak puas hati, bukannya membantah keputusan Umar.

Di pihak Abu Ubaidah pula, tidak pula beliau menampakkan kerakusannya terhadap jawatan, beliau akur agar perlantikannya dirahsiakan buat beberapa ketika. Sementara itu, pihak tentera dan umat Islam pula telah menerima perubahan tersebut dengan tenang, tidak ada yang membantah, yakin bahawa tindakan Umar adalah tindakan yang didasari tawakkal dan petunjuk Allah. Bukannya tindakan semberono, tindakan pengekor hawa nafsu dan peribadi, tindakan tanpa syura.

Seluruh tentera Islam merelakan pemecatan Khalid, sebagaimana Khalid merelakan dirinya dipecat dan mereka juga menerima perlantikan Abu Ubaidah sebagai Khalid menerimanya dengan ikhlas. Kewibawaan dan reputasi Abu Ubaidah tidak pernah dipertikaikan dan Khalid melihatnya sebagai alternatif yang berhak menggantikannya.

Demikianlah peristiwa besar, jiwa tarbiyah Khalid yang terus abadi dalam rakaman sejarah, menjadi lambang keunggulan umat yang ikhlas mengabdi dan berbakti hanya kepada Allah, hormat kepada pimpinan dan setia kepada pimpinan perjuangannya. Sesungguhnya bertuahlah umat yang sedia belajar dari sejarah ini, baik yang berkedudukan sebagai Umar, Khalid dan Abu Ubaidah radhiAllahu anhum ajma'ien. Betapa tingginya taqwa Para Sahabat, inilah hati-hati yang berada dalam satu saff yang dipuji oleh Allah Taala di dalam Al Quran :

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh" - Surah As Saff:4, Al Quranul Karim

Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab R.A? Bagaimana jika mereka dipecat seperti Khalid bin Al Al Walid R.A? Dan Bagaimana pula jika mereka mengundang jawatan seperti Abu Ubaidah bin Al Jarrah R.A? - Majalah TARBAWI Isu No:2