Saturday, October 23, 2010

~IFF: Menghina Islam Atas Nama Islam~
[Dimana Nilai Islamnya?]


Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH. 

LANDSKAP 1990′AN

“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.
“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.

“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.
“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.

Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.

LANDSKAP SEMASA

Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.


PENTAKRIFAN
“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?

Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]


Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?


Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!

Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.

Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.

KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR

Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my

Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.

Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.

Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.
“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.

Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.


“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

BEBAS

“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.
“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu.


Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah

.
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!




 Mohamad Solehin Bakri


Monday, October 18, 2010

~Ceramah Perdana~
[Antara Kasih & Korban]

Jom bersama mengimarahkan majlis ilmu!

Moga diakhir program ini, kita akan dapat:

-       Menyedari kepentingan solat fardhu secara berjemaah di masjid dan jadikan ia sebagai satu amalan.
-    Istiqamah dalam mengimarahkan Masjid Pusat Islam Kampus Kesihatan.
-         Menambah pengetahuan mengenai amalan dalam bulan Zulhijjah.
-         Merapatkan ukhuwah, khususnya antara ahli-ahli RM.
............................................................................................
Solat Fardhu merupakan suatu indikator dalam menghidupkan roh di setiap masjid. Dengan itu, RM merasakan perlunya suatu ceramah perdana khas untuk menerangkan kepada Muslimin dan Muslimat betapa peri pentingnya solat secara berjemaah dan di awal waktu di masjid secara ilmiah melalui Ceramah Khas Kepentingan Solat Jemaah dan Amalan Menjelang Aidil Adha. Mudah-mudahan program ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.Wallahua’lam.
Firman Allah: “...sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman,yang tertentu waktunya.” (Surah An-Nisaa:103)
Firman Allah: “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah al-Kautsar: 2)





Mohamad Solehin Bin bakri





Sunday, October 10, 2010

~Ya Allah,Aku Jatuh Cinta~

Bilakah anda mula merasakan cinta? 

Dulu, sekarang atau baru saja sebelum membaca buku ini?

Boleh jadi jawapan anda bermacam-macam kerana jatuh cinta banyak ceritanya. Siapapun yang bernafas di atas muka bumi Tuhan ini, tiada berkecuali sangat berpotensi terkena sengatan cinta. 

Sebuah getaran rasa yang menandakan rasa suka, rasa ingin selalu dekat, rasa ingin selalu diperhatikan dan rasa ingin berkorban membahagikan pasangannya.

Buku bertajuk ‘Ya Allah, Aku Jatuh Cinta’ ini memberi bacaan alternatif kepada para remaja tentang perbahasan yang paling disukai manusia, iaitu cinta agar cinta tidak disalahfaham menjadi medan menebar pesona dan membuat dosa. Semoga para remaja mampu melihat cinta secara lebih bermatlamat serta tidak tersilap langkah dalam menilai erti cinta.

Terdapat beberapa intipati yang anda boleh dapati dalam buku ini seperti:
1. Peringkat-peringkat cinta dalam Islam iaitu tatayyum, ‘isyk, Syauq, ‘ithf dan intifa’
2. Cinta dari sudut Psikologi- cinta kerana nafsu, cinta pragmatis dan cinta altruistik.
3. Kenali hormon-hormon jatuh cinta- Pheromones, Oxytocin, Vasopressin, Dopamine, Neuropinephrine
4. Menjawab persoalan yang selalu diutarakan, “Bolehkah saya jatuh cinta?” menurut perspektif Islam.

Teguklah madu-madu cinta dengan berlandaskan syariat Islam. Jadikanlah hati-hati yang diselubungi cinta indah di dada tanpa mengurakan rasa cinta pada-Mu ya Rabbi…

Buku ini adalah terbitan terbaru dari Kemilau Publika Sdn Bhd. Jika anda ingin memilikinya sila hubungi 03-61573314 atau dapatkan di kedai-kedai buku rangkaian MPH, Popular dan kedai buku berhampiran anda.

Layari www.kemilau.com.my




Saturday, October 9, 2010


~Apabila Muslimah Terjerit-Jerit Di Konsert Maher Zain~



Melihat perempuan-perempuan menjerit terkinja semasa konsert Black Eye Peace atau XPDC adalah sesuatu yang tidak pelik.

Muziknya menyebabkan kita terasa nak melompat dan menggerakkan kepala.
Namun, bagaimana pula andai kita melihat perempuan-perempuan bertudung terjerit-jerit semasa konsert nasyid Maher Zain? 

Rasanya tiada pun lagu Maher Zain yang rancak seperti lagu-lagu XPDC atau Soutul Harakah? 
Sukar untuk mempercayai apa yang berlaku, namun itulah yang terjadi semasa konsert Maher Zain di Gombak baru-baru ini.

Dimanakah malu seorang muslimah?

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sifat malu merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang Iman" - Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Asal iman ialah telanjang (tiada pakaian). Pakaiannya ialah takwa dan perhiasannya ialah malu."

Mengapa kita tidak menangis mendengar lagu yang menyentuh emosi?
Sedangkan ia lebih baik andai lagu-lagu Maher Zain mampu menginsafkan diri.
Adakah dengan mendengar lagu Maher Zain, iman kita bertambah dan taqwa semakn utuh? Atau kita hanya leka dengan muziknya?


Wahai muslimah,
Peliharalah akhlakmu. Jangan terlalu 'excited' dengan artis yang disayangi sehingga melupakan akhlak.
Para sahabat nabi pernah bertanya:

 "Siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?" Rasulullah SAW menjawab: "Orang yang paling baik akhlaknya." -Riwayat al-Thabarani

Untuk Renungan..

Petikan dari website: iLuvislam.com (www.iluvislam.com)







Thursday, October 7, 2010

~Usia Meningkat, Bagaimana Amalan Kita?~





Pejam celik, pejam celik, ada diantara kita yang telah menyambut ulang tahun kelahirannya.Makin bertambah umur bererti tempoh usia kita juga makin menuju ke penghujungnya..
Masa 24 jam yang Allah kurniakan terasa begitu pantas berlalu. Masih banyak perkara yang tidak mampu untuk kita sempurnakan. Masih belum puas mengecapi keseronakan hidup.
Menurut Ibnul Jauzi, di alam dunia ini manusia dibahagikan kepada lima peringkat umur iaitu kanak-kanak (bayi sehingga 15 tahun),muda (15-35 tahun), dewasa (35-50 tahun), tua (50-70 tahun) dan tua bangka (70 tahun ke atas)..hehe.. Pandangan yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali pula ada menyebutkan bahawa rata-rata umur manusia adalah 60 tahun.
Sebanyak 8 jam sehari diperuntukkan untuk tidur dan ini menyamai 20 tahun daripada keseluruhan umur kita. Lantas, adakah kuantiti dan dan kualiti amal soleh kita mampu untuk menampung dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini?. Adakah prestasi ibadah seimbang dengan pertambahan usia kita kerana baki masa terlalu singkat untuk kita.
Usia berlari seiiring dengan peredaran waktu.
Kanak-kanak mengejar usia remajanya. Remaja memburu masa tua dan orang tua kian menuju ke titik akhir hayatnya. Tidak kira di mana kita berada sama ada di peringkat kanak-kanak, remaja mahupun tua kematian pasti akan menjemput kita.
Tiada jaminan kita terlepas dari panggilan maut walau siapa pun dan di mana pun kita berada.
Sesetengah dari kita cukup resah dengan pertambahan umur. Bimbang memikirkan kecantikan fizikal yang makin pudar dan luntur dimamah usia walhal kita akan kembali ke tanah jua akhirnya. Kita juga bimbang kerana wang simpanan dan harta yang dimiliki masih belum mencukupi sedangkan semua harta yang ditimbunkan di dunia tidak berupaya menjaga kita di alam barzakh kelak.
Mengapa tidak kita alihkan kerisauan itu terhadap sesuatu yang lebih utama?
Bukankah lebih wajar untuk kita memikirkan, apakah dengan umur yang telah berlalu menjadikan kita semakin hampir dengan Allah atau sebaliknya? Adakah kesempatan masa dan usia yang Allah anugerahkan telah kita manfaatkan sepenuhnya dalam merebut cintaNya ? Adakah bekal amalan dan ibadah kita sudah memadai untuk menjamin kita ke syurga?
Cuba kita bermuhasabah seketika. Merenung kembali bagaimana nilai ibadah yang telah kita laksanakan selama ini. Semoga lebih tinggi dan berkualiti nilaiannya. Tidak sekadar melengkapkan bilangan solat lima waktu sehari semalam, namun kita perlu lebih memperhalusinya dengan membuat persediaan lebih awal, mengambil berat tentang pakaian yang digunakan untuk solat sama ada bersih atau tidak.
Jika sebelumnya kita sekadar membaca tanpa memahami makna dalam bacaan solat, mengapa tidak kita tanamkan azam mulai hari ini untuk belajar memahami dan menghayati bacaan dan perbuatan dalam solat. Hanya solat yang benar-benar berkualiti sahaja yang mampu meninggalkan impak positif terhadap pelakunya. Ini bertepatan sekali dengan firman Allah bahawa 


“sesungguhnya solat itu mampu mencegah dari seseorang daripada melakukan perkara keji dan mungkar.”
Bagaimana pula dengan kualiti dan penghayatan hukum menutup aurat kita? Adakah seiiring dengan piawaian syarak ataupun sekadar mengikut arus perkembangan fesyen walhal aurat belum lagi ditutup dengan sempurna? Tidak salah berfesyen, tapi biarlah mengikut syariat.
Bertudung, tetapi berbaju dan berseluar sendat. Atau, bertudung tetapi dalam masa yang sama kainnya terbelah di sana-sini..itu tidak mencapai standard piawaian menutup aurat yang digariskan Islam. Moga kita lebih memahami, menutup aurat bukan sekadar menutup rambut semata-mata, tetapi keseluruhan anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Tidak ada salahnya menggayakan tudung Ariani, Fareeda,wardina,waheeda atau jenama-jenama lain, asalkan tudung tersebut menutup paras dada. Pakaian pula, biarlah bersopan, tidak perlu sendat ataupun singkat.
Harus difahami, pensyariatan menutup aurat adalah untuk memelihara dan mengangkat martabat wanita Islam, bukan untuk mengongkong mereka. Selain itu, Islam menetapkan garis panduan menutup aurat bertujuan untuk membezakan antara wanita Islam dan wanita bukan Islam kerana masyarakat Arab Jahiliyyah dulu juga berselendang, begitu juga dengan rahib. Tetapi tudung mereka berbeza dengan tudung wanita Islam.

Aspek Al-Quran pula, bagaimana ? Adakah sekadar membaca Al-Quran di bulan Ramadhan sahaja sedangkan di bulan lainnya ia tersimpan rapi di dalam almari? Tahniah diucapkan kepada yang berjaya membaca Al-Quran secara konsisten setiap hari. Ini kerana, Insya Allah, kita tidak digolongkan dalam kategori lalai jika kita berusaha membaca sekurang-kurangnya 10 ayat sehari. Jika tidak ada kesempatan langsung untuk membaca Al-Quran, cuba bermuhasabah diri.

Apakah dosa atau maksiat yang telah kita lakukan pada hari itu sehingga tidak berpeluang langsung untuk mengalunkan ayat-ayat Allah itu. Hati orang yang sentiasa membaca Al-Quran akan hidup dan menjadi lembut.
Ulama’ menyatakan , sekiranya kita ingin berbicara dengan Allah, tunaikanlah solat. Jika kita mahu Allah berbicara dengan kita, bacalah Al-Quran dan jika kita ingin mengetahui rahsia Allah, lawatilah kawasan perkuburan, mudah-mudahan kita mendapat iktibar darinya.
Berbalik kepada persoalan membaca Al-Quran, jika kita sudah berjaya menjadikannya ia sebagai amalan rutin harian, mengapa tidak pula kita cuba meningkatkan kualiti pembacaan. Maksudnya, berusaha memperbaiki mutu tajwid dan cuba mempelajari maksud dan hukum yang terkandung di dalamnya untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian.
Kita cuba beramal dengan apa yang dianjurkan Al-Quran dan menjauhi apa yang ditegah di dalamnya.
Sebagaimana yang diriwayatkan Saidatina Aisyah r.a tatkala ditanya mengenai akhlak Nabi SAW,

Beliau menjawab : ”Sesungguhnya akhlak baginda adalah Al-Quran”…

Mengapa tidak kita jadikan hadith ini sebagai satu motivasi untuk membentuk akhlak diri yang mahmudah sebagaimana yang dianjurkan Islam?
Tiada manusia yang sempurna.
Namun, kita diberikan akal dan iman agar kita mampu memanfaatkannya untuk mencapai tujuan sebenar hidup kita di bumi, iaitu beribadah kepadaNya. Manfaatkanlah sebaik mungkin nikmat umur yang telah Allah anugerahkan. Biarlah umur pendek, namun penuh dengan keberkatan.
Tiada siapa di antara kita yang terlambat untuk berubah. Kita masih ada masa untuk berubah ke arah yang lebih baik. Biarlah perubahan itu bakal membawa kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat dan paling penting, ianya mendapat keredhaan Allah.









Mohamad Solehin Bin Bakri
msb_rg8@yahoo.com


(^_^)



Wednesday, October 6, 2010

~Wanita Melamar Lelaki Langkah terpuji~


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya de ngan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.
Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran. 
Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. 

Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita. 

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh. 

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.

Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.
 

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?

Mungkin kaum wanita mengang gap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.
Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasa ngan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya...!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,”

Pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.


“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masyhur, Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah. 


“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.







(^_^)


Monday, October 4, 2010

~ Ciri Calon Isteri~


"Janganlah engkau kahwini wanita yang enam ini... iaitu janganlah engkau kahwini dengan wanita yang Ananah, dan yang Mananah, dan yang Hananah, dan yang Hadaqah, dan yangBaraqah dan yang Syadaqah."
(Imam Al-Ghazali)

Penjelasan Istilah:

1. Wanita ANANAH
Banyak mengeluh, mengadu dan setiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit. Bahasa mudah: Suka berlakon/berdrama untuk dapat perhatian. 
2. Wanita MANANAH
Suka membangkit-bangkit terhadap suami.
Bahasa mudah: Mengungkit.
3. Wanita HANANAH
Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.
Bahasa mudah: Berkongsi kasih dengan ‘suami simpanan’ (aka skandal) atau bekas suami atau dengan anak daripada ‘suami simpanan’.
Nota: Macam mana nak tahu, Wallahu’alam…
4. Wanita HADAQAH
Melemparkan pandangan dan matanya pada setiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memilik barang itu dan memaksa suaminya untuk membeli. Bahasa mudah: Rambang mata dan susahkan suami kerana ingin bermewahan.
5. Wanita BARAQAH
Ada dua makna; Pertama, yang sepanjang hari mengilat dan menghias wajahnya. Kedua, dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.
Bahasa mudah: Bersolek tak kenal masa, tak kenal tempat, tak kenal untuk siapa; Tak mahu makan konon-konon tengah diet (yang ini tambah sendiri, jangan ambil serius!).
6. Wanita SYADAQAH
Banyak cakap yang tidak menentu dan bising.
Bahasa mudah: Kecoh, suka tukar topik; Ikut emosi sampai buat suami fikir keluar rumah pi minum kedai kopi lagi bagus.

Pesanan imam Ghazali ini  boleh dijadikan rujukan untuk musimat mahupun muslimin... kerana ianya bertepatan dengan ajaran ISLAM...

Slamat Beramal...





(^_^)