Thursday, April 1, 2010

~Aku Mahasiswa,Aku Peduli Apa!~

Dada akhbar kebelakangan ini banyak memaparkan kes menyayatkan hati yang menimpa negara. Penderaan kanak-kanak,rogol,seks bebas,ragut dan pelbagai lagi kes yang menyayat hati menjadi tumpuan lensa media untuk dipaparkan kepada masyarakat Malaysia. Samaada sedar ataupun tidak, kebejatan sosial yang melanda negara ini semakin meruncing dan membimbangkan masyarakat.

Menyoroti kembali kes-kes yang terpampang di dada akhbar sebelum ini membawa kita kepada satu bentuk persoalan apakah tiada penyelesaian yang terbaik kepada masyarakat Malaysia ketika ini yang dilihat semakin tenat dengan penyakit-penyakit sosial? Dalam ucapan menyambut tahun baru pada tahun 1995, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamed mengingatkan rakyat Malaysia akan peri pentingnya untuk kita membenteras sesuatu budaya yang membawa kepada kebejatan sosial masyarakat Malaysia.

Kes Syafiah Humaira Sahari bukan baru.

Apa sudah jadi pada masyarakat kita.Besarkah kesilapan kanak-kanak seusia 3 tahun bernama Syafiah Humaira Sahari ini sehinggakan tergamak insan yang dewasa yang punya akal yang dikurniakan Allah untuk berfikir bertindak seumpama harimau yang kelaparan menerkam mangsanya sehingga dia diperlakukan sedemikian rupa.Tidakkah ada terdetik nilai kasih sayang kepada manusia lain di dalam hati perlaku yang membelasah mangsa sehingga mati ini. Inilah antara barah yang semakin membengkak di dalam masyarakat negara kita apabila individu masyarakat mula hilang integriti dan arah tujuan. Allah Taala berfirman di dalam surah Al-A’raf ayat ke 179 yang bermaksud :

“ Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai ”

Perkiraannya mudah, apabila membiarkan diri jauh dari Allah, menyantuni nafsu untuk setiap amalan hidup,mengundang syaitan sebagai sahabat, maka adanya yang baik dipilihnya buruk, adanya yang kasih dipilihnya benci dan adanya yang halal dipilihnya haram. Tidak terbayang difikiran mereka yang meletakkan Islam itu tinggi dalam semua aspek kehidupan akan kes adik Syafiah Humaira Sahari ini berlaku. Namun, kes ini bukanlah kes yang pertama. Negara pernah digegarkan berkenaan kes adik Nurin Jazlin Jazimin dan ramai lagi mangsa akibat penderaan fizikal oleh insan dewasa yang sepatutnya punya akal untuk membezakan yang baik dan yang buruk. Inilah akibatnya bila nafsu diutamakan dan akal berpadukan syariat Allah dilempar jauh dari hati dan sanubari setiap insan.

Aku Tidak Peduli’sma: Ideologi Siswazah Jumud & Tidur

‘Aku tidak pedulisma’ adalah ideologi rumit yang timbul di dalam minda dan tindakan manusia akibat cetusan sifat negatif yang menguasai diri. Jika Islam menganjurkan sikap saling bekerjasama, mengambil berat di antara satu sama lain, memelihara tanggungjawab sosial dan mempunyai semangat kekitaan, maka ‘aku tidak pedulisma’ adalah lawan kepada semua itu.

Apakah ada ideologi yang lebih merbahaya dari idelogi yang bernama ‘aku tidak pedulisma’? Ia adalah ideologi yang menolak bentuk manusia berfikir, mengecam manusia berjuang, dan mengenepikan manusia berbakti. Ia adalah fahaman yang bersifat ananiah, tiada sensitiviti, tiada perjuangan, bahkan hanya berusaha ke arah melahirkan manusia yang menjadi hamba kepada dirinya sendiri. Golongan ‘aku tidak pedulisma’ adalah manusia yang menutup semua pintu untuk manusia lain mendekatinya, mereka tidur di dalam jaga dan mati semasa hidup.

Inilah ideologi yang melanda siswazah masa kini. Dimana suara mahasiswa ketika isu seperti kes adik Syafiah Humaira ini berlaku? Dimana suara mahaiswa untuk kes penagihan dadah,zina,arak,rasuah, dan seribu macam kemelut sosial yang melanda masyarakat? Tidak dinafikan ada yang bersuara tetapi ia hanya KELOMPOK KECIL yang PEDULI daripada KELOMPOK BESAR yang TIDAK AMBIL PEDULI dan hanya diam membatu di dalam bilik dengan permainan video dan laptonya sahaja.

Kita perlu sedar bahawa jatuhnya kebanyakkan tamadun dunia suatu ketika dahulu adalah berpunca daripada keruntuhan akhlak dan sikap tiadanya amar ma’ruf nahi mungkar masyarakatnya yang menyebabkan Allah murka lalu menurunkan bala bencana sebagai peringatan kepada kita. Tidakkah kita sedar tentang kisah lama yang sepatutnya dijadikan ikhtibar.Hari ini ibu bapa sudah tidak boleh menyatakan bahawa mereka yakin 100% bahawa anak-anak mereka yang melakukan urusan diluar rumah sentiasa selamat daripada ancaman manusia bernafsu binatang. Allah Taala berfirman di dalam Surah Yunus ayat ke 81 :

Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerusakan.

Kesimpulannya,Sudah tentu tiada jalan lain untuk membetulkan keadaan ini selain kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam erti kata yang sebenar. Umat hari ini tidak mungkin dapat diislahkan melainkan dengan apa yang telah mengislahkan umat yang terdahulu! Firman Allah SWT:

“… dan tetapi, jadilah kamu Rabbaniyyin (ulamak dan fuqaha’ di dalam ad-dien) terhadap apa yang kamu ajarkan dari Al-Kitab dan dengan apa yang kamu pelajari”(Surah Aal Imran 3 : 79)

Lupakah kita tentang kata-kaat daripada Saidina Umar Al-Khattab :

“Kita adalah suatu bangsa dan golongan yang telah dimuliakan Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada Islam, sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan!”.

(^_^)

1 comment:

Rik no Orkut said...

Faria sentido se eu entendesse!