Thursday, March 26, 2009

~Lelaki Yang Ingin Menggapai Syurgawi~

Setelah menerangkan beberapa perkara sebelumnya, saya yakin remaja sudah mampu mengutip beberapa isi dan prinsip percintaan. Dan sepatutnya remaja sudah tidak boleh terkeliru dalam mencari destinasi cinta. Destinasi cinta adalah mendapat kebahagiaan di dunia dan memasuki syurga Allah di akhirat. Sebaik diijab-kabul, perjalanan untuk merentasi lautan kehidupan demi mencapai pulau bahagia bermula. Di sinilah, lelaki dan wanita perlu bersedia untuk membuktikan beberapa perkara utama.


Lelaki dan wanita perlu bersedia mental dan fizikal serta material sebelum berkahwin. Sewajarnya lelaki dan wanita perlu bersedia lebih awal lagi agar mereka mampu menempuh gelombang dan goncangan dalam lautan kehidupan setelah berumah tangga. Untuk mencapai kebahagiaan itu, perlulah dilakukan awal-awal lagi beberapa perkara.


Pertama : Ketaatan pada Allah.


Sejujurnya sudah bertahun-tahun saya menjadi fasilitator program remaja. Dan saya tidak segan untuk menyatakan bahawa kebanyakan remaja lelaki lebih banyak cakap dari bikin. Selain itu, remaja lelaki juga lebih banyak gaya dari isi. Berbeza dengan wanita, mereka banyak bikin dari cakap.


Kenapa? Jika anda remaja, cuba tanya diri sendiri dengan tiga soalan ini.


(Pertama) Wahai remaja benarkah anda seorang yang patuh pada perintah Allah?


(Kedua) Cukupkah solat lima waktu? Bagaimana pula dengan solat berjemaah?


(Ketiga) Al-Quran sebagai panduan hidup itu sudahkah dibaca setiap hari? Atau seminggu sekali?


Jawablah soalan tadi dengan jujur dan anda akan tahu diri anda bagaimana. Jika anda seorang yang beramal soleh, soalan di atas itu sudah tentu dijawab secara penuh. Jika anda seorang yang soleh, anda tidak akan mencuaikan solat lima waktu dan sentiasa membaca Al-Quran. Namun, kebanyakan remaja lelaki sekarang bukan sahaja tidak berjemaah, malah solat lima waktu juga sering tak cukup. Al-Quran jangan kata dibaca, sebutan huruf pun belum tentu sahih.


Betul tak telahan saya?


Berdasarkan pemantauan saya, setiap dari 30 remaja lelaki hanya seorang yang boleh membaca Al-Quran dengan baik. Ini bererti amalan hidup beragama ini sudah terhakis dalam diri lelaki akhir zaman. Remaja lelaki yang ada di zaman sekarang ini adalah remaja yang jauh dari mentaati Allah. Nauzubillah! Adakah anda begitu? Atau anda sebaliknya?


Hanya anda yang tahu siapa diri anda kan?


Memang benar, mentaati Allah adalah perkara yang sukar dan payah untuk dilakukan. Justeru itu, tidak ramai lelaki yang mampu memimpin keluarga ke arah mentaati Allah. Kebanyakannya hanya berbuat sesuatu yang diingini oleh nafsu syahwat. Keperibadian mentaati Allah ini mampu dibentuk sebelum berkahwin lagi. Iaitu dengan cara membiasakan diri dengan melakukan amal soleh dan menjauhkan diri dari perkara keji. Sikap taat kepada perintah Allah juga dapat dilihat dengan mudah dalam tindak-tanduk, pemakaian, pertuturan dan pergaulan seseorang.


Sayangnya lelaki yang soleh itu sekalipun ada namun jarang ditemui. Kebanyakannya remaja lelaki zaman sekarang digolongkan dalam golongan dayus. Dayus di sini ialah merelakan diri dan orang sekeliling melakukan maksiat secara terang-terangan tanpa ditegur atau dinasihati. Lihatlah, betapa ramai lelaki yang bersikap begini. Akhirnya setelah dia menjadi suami, dia membenarkan isterinya membuka aurat di hadapan khalayak. Memakai baju ketat dan jarang-jarang. Memakai pakaian yang tidak menepati syarak.

Betapa ramai lelaki yang membiarkan dirinya lalai dengan hiburan dan maksiat tanpa menjaga solat lima waktu. Kelalaian ini akan menatijahkan dirinya menjadi suami yang tidak pernah peduli soal dosa dan pahala, soal wajib dan sunat. Inilah yang disebutkan kegagalan suami dalam mentaati perintah Allah. Dan pasti kegagalan ini akan menatijahkan kerugian di akhirat kelak. Kerugian yang besar ini ialah apabila gagalnya kita memasuki syurga dan sebaliknya dihumban ke dalam neraka.


Atas sebab itu, lelaki atau suami yang benar-benar menyayangi anak dan isteri perlu memimpin keluarga ke syurga Allah. Suami yang berkualiti seharusnya mampu membawa keluarga ke arah ketaatan dan jauh dari murka Allah. Jika suami ini berjaya, maka mereka sekeluarga akan dimasukkan ke dalam limpahan rahmat dan nikmat. Inilah kebahagiaan yang optimum.


Kualiti lelaki yang mentaati Allah ini adalah sangat susah dicari. Dan sebolehnya anda jangan menjadi lelaki yang dayus atau jauh dari amal soleh. Kerana jika anda dayus dan jauh dari tuhan, bererti anda orang yang mungkin akan gagal ke syurga Allah. Na’uzubillah!


Kedua : Mencari sumber rezeki yang halal dan berkat.


Manusia yang hebat adalah lelaki yang sangat teliti soal keberkatan rezeki dan kesucian hartanya. Manusia yang lemah jiwa adalah lelaki yang menelan segala harta yang datang tanpa memikirkan soal halal dan haram. Dalam mencari rezeki, ada dua perkara yang perlu difikirkan iaitu ‘Halal’ dan ‘Berkat’. Orang yang mampu mencari rezeki yang halal, belum tentu mencapai rezeki yang berkat. Tetapi, rezeki yang berkat sememangnya halal. Dengan kata lain, rezeki yang berkat itu adalah jauh lebih baik dari rezeki yang sekadar halal sahaja.


Rezeki yang berkat dapat dilihat dari aspek kecukupan. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang mencukupi dan memberi banyak ketenangan dalam jiwa. Jika rezeki seseorang itu sekalipun halal namun tidak berkat, akan berlaku banyak kebocoran wang sehingga hartanya menjadi tidak cukup. Malah dia juga sering gusar apabila memikirkan wang dan harta. Sumber pencarian yang halal ini perlu difikirkan semasak-masaknya oleh semua lelaki yang bakal menjadi ketua rumahtangga. Kerana dari duit hasil usahanya dia akan memberi makan kepada anak dan isteri. Jika dia menyuapkan anak dan isteri dengan harta haram, ini bererti dia akan membawa anak dan isterinya ke neraka Allah. Begitu juga bagi isteri yang bekerja, perlu diteliti soal keberkatan ini.


Untuk menuju syurga dan keabadiaannya, amat penting bagi remaja memahami hukum jual-beli serta selok-belok halal dan haram. Bagi semua orang yang mahu dan akan berkahwin sepatutnya mereka menguasai semua hukum-hakam yang melibatkan soal halal-haram. Malangnya, remaja lelaki zaman sekarang bukan setakat jahil malah langsung tidak mahu ambil peduli perkara mengenai hukum-hakam.


Bagi lelaki pula, jangan mudah tergoda dengan pujukan wanita untuk mencari wang sebanyak-banyaknya demi memenuhi tuntutan nafsu wanita. Memang sering berlaku lelaki sanggup menipu, berhutang dan mengambil duit orang semata-mata untuk membeli keperluan kosmetik isteri yang beribu ringgit. Ini adalah satu kesilapan dan keruntuhan moral yang perlu dijauhi oleh ketua keluarga.


Ketiga : Melazimkan Pasangan Dengan Nasihat Agama.


Kebanyakan pasangan yang belum atau yang sudah berkahwin tidak berbicara soal nasihat agama. Kebanyakan pasangan yang bercinta atau sudah berumahtangga, seringkali topik perbincangan hanya melibatkan perkara dunia sahaja. Hal ini demikian kerana majoriti pasangan tidak punya ilmu agama. Jiwa mereka kosong dari al-Quran dan hadis nabi. Kekosongan itu menyebabkan idea agama sentiasa keciciran dari topik perbualan mereka.


Lantaran itu, demi menjaga survival kebahagiaan sebuah hubungan adalah sangat dituntut bagi setiap pasangan untuk melazimkan diri mendengar nasihat agama. Terpulanglah bagaimana anda menasihati pasangan anda, yang penting hati anda perlu sentiasa didedahkan dengan nasihat, tazkirah dan kuliah. Tanpa tazkirah dan kuliah, hati manusia akan menjadi keras dan sakit. Disebabkan kesakitan dan kekerasan hati ini, banyak pergaduhan dan perbalahan dalam rumahtangga berlaku.



Justeru, jika pasangan tersebut kurang ilmu agama dan tidak mampu saling menasijati. Maka, carilah majlis ilmu di surau atau di masjid agar hati kita sentiasa mendengar kata-kata nasihat. Secara tidak langsung ia membantu setiap pasangan memperbaiki hubungan dengan Allah dan juga manusia.


Susahkah untuk ke masjid dan surau bagi menghadiri majlis ilmu?


Jika susah, carilah kaset-kaset ceramah yang bagus. Carilah vcd ceramah atau buku agama yang boleh menjadi halwa bagi jiwa anda. Dengan mendengar ceramah agama sama ada melalui kaset atau buku, insya allah jiwa anda akan lebih harmoni dan tenteram. Jangan anggap ini suatu perkara remeh, sesungguhnya jiwa anda sentiasa meminta untuk diberi makanan dan kekuatan. Maka nasihat, ayat al-Quran dan hadis nabi yang sebenarnya menjadi makanan dan kekuatan bagi jiwa manusia.

Untuk renungan bersama...

Dipetik dari: Ust. A.Ubaidillah Alias



No comments: