Wednesday, March 9, 2011


~Peristiwa Thaif:Bekalan sepanjang jalan dakwah~

Peristiwa ini berlaku tidak lama selepas Rasulullah s.a.w kehilangan dua insan tercinta,Siti Khadijah dan Abu Talib.Rasulullah s.a.w bertambah sedih apabila mengenangkan sepanjang 10 tahun dakwahnya berlansung,hanya 70 orang yang menjadi pengikut.Apakah Allah sengaja menambah kesedihan demi kesedihan kepada seorang kekasih yang dicintaiNya?Tentu sekali tidak..Allah ada rencanaNya..


Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku mengadukan kepadamu akan kelemahanku dan penghinaan orang terhadap diriku, wahai Tuhan Maha Pengasih dari sekalian manusia. Kepada siapakah Engkau ingin menyerahkan, diriku ini? Apakah Engkau akan menyerahkan diriku kepada musuh-musuhku yang akan membinasakanku, ataupun kepada seorang yang bertimbang rasa yang dapat menimbangkan perkaraku. Tetapi jika Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak menghiraukan semua itu, selain belas kasihanmu itu lebih banyak yang aku harapkan. Aku berlindung kepadamu demi ZatMu yang mencetuskan cahaya yang dapat menghapuskan segala kegelapan, dan yang mana digantungkan padanya segala urusan dunia dan akhirat, agar tiadalah turun ke atas diriku ini kemurkaanmu, atau menempat pada diriku kebencianmu, bagimu segala rupa keridhaan sehinggalah Engkau meridhai, dan tiada daya upaya melainkan dengan Allah saja! (Majma'uz-Zawa'id 6:35)


Sabda Nabi S.A.W di atas merupakan doa yang sungguh menyayat hati tatkala baginda keluar dari Thaif dan singgah sebentar di sebuah kebun anggur milik Utbah dan Syaibah. Ketika itu baginda merasakan perasaan duka dan lara yang memenuhi hatinya kerana penduduk Thaif menolak sama sekali da’wah baginda kepada mereka. Bahkan tolakan mereka diikuti pula dengan cercaan dan maki hamun serta lemparan batu kepada baginda dan Zaid bin Haritsah yang menemani baginda. Di sini diperlihatkan satu bentuk mehnah psikologi dan mental yang amat berat buat baginda sehinggakan baginda S.A.W. dalam satu hadith riwayat Al-Bukhary dengan sanadnya dari Urwah bin az-Zubair daripada Aisyah r.a menyatakan bahawa ia merupakan saat yang paling berat dalam hidup baginda. Di dalam teks Raheeq Makhtum diceritakan bagaimana penduduk Thaif dari golongan hamba sahaya, anak-anak kecil dan orang-orang jahat dari kalangan mereka mengekori beliau sehingga tiba ke kebun anggur itu, iaitu kira-kira tiga batu dari bandar Thaif sambil mencaci dan melemparkan batu kepada baginda dan Zaid.
  




Pada ketika itu dikisahkan terumpah baginda yang basah dengan lelehan darah sedang Zaid bin Haritsah mengalami luka-luka yang amat banyak di kepala dan badannya demi melindungi Rasulullah S.A.W. Dakwah baginda di Thaif ini merupakan satu contoh daripada sirah baginda yang luas bagaimana manusia sanggup bertindak dalam menentang da’wah islam yang mengakui kekuasaan Allah S.W.T dan segala ruang lingkup kehidupan yang berteraskan kebenaran akidah islam. Demikianlah keadaan baginda dalam usahanya untuk menyampaikan risalah islam kepada umatnya. Baginda menempuhi tribulasi yang hebat namun baginda tetap bersabar dan tidak pernah sekalipun berputus-asa melainkan terus menerus memanjatkan doa kepada Allah S.W.T agar diberikan kekuatan kepadanya.


Beginilah karakteristik yang ditonjolkan oleh Nabi S.A.W kepada umatnya yang ingin membawa dan menyambung usaha da’wahnya di muka bumi ini. Atas kesedaran yang jelas bahawa tugas ini adalah tanggungjawab setiap individu muslim dalam apa jua keadaan dan situasi, haruslah usaha dan kefahaman itu dialurkan dengan pace da’wah Nabi S.A.W. serta segala sunnahnya dalam da’wah. Itulah langkah da’wah yang panjang tetapi asli, langkah yang jauh tetapi pasti. Secara terusnya, dapat kita ambilkan sebagai pengajaran akan sikap Nabi yang tidak menyetujui akan cadangan malaikat Jibril dan malaikat penjaga gunung untuk meratakan Akhsyabaini


Sebaliknya baginda mengharapkan agar Allah S.W.T mengeluarkan dari kalangan mereka yang menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Di dalam keadaan baginda yang kesedihan dan kedukaan, baginda tetap mengharapkan kebaikan dari mereka. Itulah satu bentuk pemikiran yang ideal bagi para da’ie yang ingin memperjuangkan kalimah syahadah di muka bumi ini. Tindakan Rasulullah ini merupakan satu bentuk tindakan yang memaparkan rasional Rasulullah yang tetap berfungsi dalam keadaan yang mana emosi baginda terganggu. Inilah yang diperlukan dalam diri da’ie; rasional dalam apa jua keadaan, selari dengan sabda baginda S.A.W  untuk umatnya tidak mengikut hawa nafsu.


Begitulah yang dimahukan oleh baginda bagi mereka yang mendukung agama Allah ini agar senantiasa memupuk rasa belas kasihan kepada mereka yang tidak memahami agama ini dan agar kita terus menerus memohon dari Allah agar kebaikan dikeluarkan dari sisipan kezaliman dan kejahilan mereka.Kata-kata baginda di dalam doa tersebut merupakan kata-kata yang mengharapkan redha Allah semata-mata. Kata-kata yang menggambarkan kelemahan manusia serta rayuan dari kekuasaan Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih agar menghulurkan kekuatan dan keteguhan iman. Doa tersebut juga menggambarkan kebergantungan Rasulullah S.A.W kepada kurniaan dan afiat Allah S.W.T. serta harapan yang menggunung tinggi agar tidak dimukai Allah S.W.T.

Beginilah kehendak Allah S.W.T daripada hamba-hambanya agar merasakan kelemahan diri yang hina ini di hadapan kekuasaan Allah S.W.T yang mana disampaikan daripada perbuatan Rasul-Nya. Tatkala tiba di kata-kata , tergambar satu bentuk perasaan dan pemikiran yang secara terang-terang menyerlahkan peribadi Nabi S.A.W yang ikhlas kerana Allah, tanpa mengharapkan apa-apa melainkan redha Ilahi. Di sinilah  terpancarnya satu sifat yang amat penting buat para da’ie yakni ikhlas kerana Allah, redha dengan segala tribulasi dan ujian asalkan Allah S.W.T tidak murka kepada diri kita. 

Di sini juga Rasulullah menunjukkan himmah dan keazaman yang tinggi dalam menyebarkan agama islam yang suci ini. Haruslah bagi kita yang ingin membawakan agama ini menyedari bahawa jiwa, perasaan suka-duka, dan diri kita ini adalah untuk membawa amanah yang besar ini, amanah yang tidak sanggup dipukul oleh bumi dan gunung-ganang melainkan manusia yang zalim lagi bodoh. Segala usaha kita hanyalah untuk menggapai redha-Nya dan atas setiap musibah yang menimpa, kita juga turut redha dengan kehendak Allah S.W.T.Perkara pokok yang harus disedari oleh para da’ie adalah jalan da’wah in itidka pernah lengang dan sunyi dari ujian dan dugaan. Inilah jalan yang sukar tapi pasti. Oleh kerana itulah harus disemai sifat rela berkorban, bermula dengan kehendak dan himmah yang tinggi dari dalam diri demi tertegaknya kalimah syahadah di segenap pelusuk muka bumi.

Itulah pengorbanan jiwa dan fizikal yang dipaparkan oleh Rasulullah dalam kata-katanya itu. Ini selaras dengan kata-kata Imam al-Banna,

Seseorang yg mengorbankan harta, darah dan semua nafasnya utk membela akidah yg di yakininya, dan ia menjalani kehidupannnya kerana akidahnya itu. 

Di dalam Fiqhus Sirah karangan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, beliau menyatakan: 

Di dalam do’a restu baginda ke hadrat Ilahi ketika baginda berehat dan penat lelah di pokok-pokok di dusun anak-anak Rabi’ah nampak sekali kelemahan dan keperluan manusia kepada pertolongan Ilahi dan inilah pengakuan kehambaan manusia kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin; Di dalamnya juga menampakkan pengaduan RasuluLlah kepada Allah Subhanahu Wataàla di samping merestui pertolongan dan kurniaannya, juga terbayang kegelisahan apakah ini suatu kemurkaan dari Allah kerana sesuatu perintah yang telah terlanggar. Oleh yang demikian di antara do’a restu baginda

“Sekiranya ini tidak mendapat murka maka tidaklah hamba hiraukan”. 

Di sini digambarkan oleh Sa’id Ramadhan al-Buti bagaimana Rasulullah mengajarkan kepada umatnya untuk mengakui kehambaan kepada Allah S.W.T. dan kebergantungan dengan-Nya seperti yang dibincangkan sebelum ini.

HEBATNYA UJIAN BAGINDA....10 TAHUN BERDAKWAH,HANYA 70 ORANG PENGIKUT..TAPI PERNAHKAH BAGINDA BERPUTUS ASA..?

p/s:Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w..