Sunday, February 6, 2011

~Titik Mula Perjuangan MAHASISWA 2011~

Dalam era tahun baru 2011 ini, mahasiswa-mahasiswa bakal berdepan pilhanraya kampus (PRK). PRK yang berlangsung setiap tahun menyaksikan pelbagai rentak politik kampus yang dicaturkan oleh mahasiswa yang menarik tumpuan banyak pihak untuk dianalisa.
Kumpulan-kumpulan mahasiswa yang sentiasa terlibat dengan PRK akan menjadi kayu ukur intelektual dan kematangan mahasiswa kepada masyarakat umum samada kumpulan Pro-Mahasiswa ataupun Pro-Aspirasi. Menjadi aktiviti normal bagi masyarakat melabelkan Pro-M sebagai kumpulan berorientasikan Pro-Pembangkang dan Pro-A sebagai Pro-Kerajaan.
Pro-Mahasiswa seperti Pro-M UM, GMUKM, WUFI (UIAM), GMS KUIS dan sebagainya merupakan kumpulan yang dianggap agresif dan berani dalam mempertahankan pendirian mereka. Namun, pendekatan diplomatik tetap menjadi strategi utama melihat keadaan dan kondisi yang sesuai mengikut kampus masing-masing. Bagaimana pun, Pro-M berusaha untuk mengambil kerajaan mahasiswa di kampus semata-mata bertujuan untuk mengembalikan hak-hak mahasiswa dan ingin menegakkan kebenaran di kampus.

Pro-Aspirasi pula selalu dimomokkan sebagai kambing hitam pihak pentadbiran universiti dek kerana hubungan Pro-A dengan pihak atasan yang terlalu rapat. Mereka menggelarkan kumpulan Pro-A sebagai penjunjung aspirasi universiti dengan merealisasikan visi dan misi sesuatu universiti tersebut.
Ada pun kedua-dua kumpulan mahasiswa ini, sehingga hari ini masih tidak jemu untuk meneruskan agenda masing-masing. Tahun 2010 menjadi saksi pelbagai aksi daripada kedua-dua pihak termasuk campur tangan pihak pentadbiran boleh dilihat. Hanya mahasiswa yang boleh menilai kumpulan yang sepatutnya mereka sokong dan dokong dalam memilih pimpinan mahasiswa.
Justeru, PRK yang semakin dekat ini bakal menjadi pemula dan titik awal kepada kebijaksanaan gerakan mahasiswa di setiap kampus dalam mengatur strategi untuk menjayakan agenda besar, bukan 'berjalan di atas angin'.
Mahasiswa dicadangkan supaya melihat kriteria-kriteria utama untuk memilih pemimpin:
1- Agenda utamanya adalah Islam
2- Menyeru kebaikan dan mencegah kemunkaran adalah kewajipan
3- Kebajikan mahasiswa diutamakan
4- Hubungan dengan manusia sekitarnya berakhlak
5- Kepimpinannya dirasai bukan dibenci
6- Keberanian mencetus solusi
Kriteria di atas bukanlah dicadang atas dasar fakta dan bersifat pokok, ia hanyalah cadangan penulis yang mendambakan pemimpin mahasiswa Islam yang hebat.
Kesimpulannya, mahasiswa hari ini tidak perlu tergopoh-gapah dalam berjuang kerana Rasulullah sendiri bersabar dalam menyampaikan seruan Islam. Hal ini bukanlah bermaksud mahasiswa hari ini perlu duduk bersahaja menantikan 'bulan jatuh ke riba'. Kebenaran dan hak mestilah diperjuangkan secara bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Semoga pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa hari ini terus menyubur dari semasa ke semasa. Universiti adalah tempat melahirkan pemimpin yang berjiwa kepimpina bukan melahirkan pelajar yang bekerja.
WE UNITE FOR ISLAM



MOHAMAD SOLEHIN BIN BAKRI