Tuesday, February 8, 2011

~Pilihanraya Kampus Bakal Menggegar~


Suasana hangat pemilihan kepemimpinan gerakan mahasiswa dalam memacu kepemimpinan baru di setiap kampus  universiti awam akan kembali panas yang kian hampir waktunya. Pastinya semua mata akan tertumpu kepada situasi politik kampus dimana pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau dikenali juga sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) apabila pemilihan ini dijangka berlaku pada bulan ini. Ada juga suara-suara yang mengatakan keputusan pilihanraya kampus juga akan menjadi penunjuk aras setara Pilihan Raya Umum Negara.
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) selaku gerakan mahasiswa yang turut memainkan peranan dalam keterlibatan dalam pilihanraya kampus ini berpendapat isu politik kepartian dan perkaitan dengan pilihanraya Negara adalah kurang wajar dikaitkan dalam Pilihanraya MPP ini. Malah KARISMA turut menggesa tiada percampuran badan politik kepartian yang mencampuri urusan politik kampus.
Mahasiswa selaku golongan intelektual mempunyai kekuatan dan daya analisa yang baik dengan ilmu serta tidak memerlukan campur tangan luar yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi. Malah turut merencatkan daya kepemimpinan dan inovasi para mahasiswa. Budaya melabel sebagai Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa hanya menjarakkan lagi hubungan dan daya kerjasama antara mahasiswa yang semestinya mempunyai misi dan visi yang selari dengan aspirasi universiti, Negara dan agama.
KARISMA yakin bahawa keterlibatan dalam politik kampus ini wajar dmanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa dalam mendapatkan pengalaman yang sangat berguna yang mana persis kepada Pilihanraya Umum Negara. Pembentangan Manifesto, perang poster, perang saraf, ucapan awam, sudut pidato, peraih undi, jentera pilihanraya dan sebagainya adalah aset penting mahasiswa yang tidak akan dapat dipelajari di dalam dewan kuliah. Malah tidak semua mahasiswa yang akan dapat merasa kemanisannya.


Kita boleh melihat bagaimana keterhadapannya suara mahasiswa di Negara jiran seperti Indonesia yang responsif bukan setakan isu-isu kampus tetapi juga isu nasional dan global. Malah kebangkitan yang berlaku di Tunisia, Jordan dan Mesir sekarang ini turut dikaitkan dengan mahasiswa dan pemuda. Semangat dan rasional ini yang perlu diperhalusi oleh mahasiswa di Negara kita. Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga perlu seiring membawa momentum suara mahasiswa ini.
KARISMA menggesa agar mahasiswa agar turun menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih dengan penuh kesedaran dan bukannya kerana gesaan ataupun paksaan  daripada pengurusan universiti. Kesedaran ini perlu wujud dalam diri mahasiswa dan prestasi ini boleh dilihat melalui peratus keluar mengundi yang akan dilaporkan kelak. Rata-rata universiti masih ada yang peratus keluar mengundinya dibawah paras 50%. Sekretariat Pilihanraya Kampus juga perlu serius dalam perancangan dan pelaksanaan pengundian dan bukannya hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Waktu pengundian, tempoh pengundian, lokasi dan segalanya perlu dirancang dengan baik dan membantu mahasiswa mendapatkan informasi.
Jika mahasiswa masih kurang kesedaran untuk turun mengundi di alam kampus, maka inilah antara kesan yang menjadikan mahasiswa dan belia tidak mendaftar sebagai pemilih Pilihan Raya Umum yang sekaligus melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab mereka kepada Negara dalam memilih pemimpin yang berwibawa. Ini cukup merugikan malah menolak suara yang ada untuk mencadangkan pembaharuan kepada Negara. Transformasi Mahasiswa Menjayakan Agenda Negara.
Ayuh turun jalankan tanggungjawab anda!
MOHD IQBAL HAKIM BIN MOHD ADNAN
JK PENERANGAN
KELAB RAKAN SISWA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)

sumber: Harakahdaily 8 Febuari 2011

No comments: