Saturday, December 26, 2009


~Puasa Sunat 10 Muharram~

PENDAHULUAN
 Allah S.W.T dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang  (al-Rahman) telah menetapkan sesesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang  lebih berbanding dengan bulan-bulan yang lain agar Dia dapat memberi ganjaran  yang lebih kepada hamba-hamba-Nya pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di  antara bulan yang dianggap istimewa itu adalah bulan Muharram yang merupakan  bulan yang pertama dalam kalendar hijrah dan ia juga merupakan salah satu dari  empat bulan-bulan haram yang penuh berkat. Firman-Nya dalam Surah At-Taubah, Ayat 36:  “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan,  (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan  bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu  ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam  bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah  kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan  ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” Menerusi firman-Nya “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan  yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)” ia menunjukkan bahawa pada  bulan-bulan haram yang mana Muharram adalah salah satu darinya kita dilarang  dari melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang kerana dosa melakukan  kemungkaran pada bulan-bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah  S.W.T. berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Namun begitu bagi mereka yang  melakukan amal-amal yang soleh ganjaran pahalanya juga adalah lebih tinggi  berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati  dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama  bulan-bulan tersebut: “Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan  langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah  bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu  bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan  Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban.” –  Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662 Kita telah sampai ke dalam bulan Muharram. Bulan awal yang mulia ini adalah  bulan pertama di dalam Kalendar Hijriah. Seperti yang kita sedia kita maklum,  di dalam bulan Muharram inilah ada hari yang telah disunatkan kepada kita untuk  berpuasa iaitu puasa hari ‘Asyura. Malah, ada petunjuk dari Rasulullah juga  memberi galakan untuk berpuasa pada hari kesembilan Muharram.  KELEBIHAN  Daripada Abu Hurairah Radiyallahu’anh berkata : bahawa Rasulullah  Sallahu’alaihiwasallam bersabda : “Seafdal-afdal puasa selepas bulan Ramadhan  ialah bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah  solat pada malam hari”. Di dalam riwayat yang lain “Solat di sepertiga malam” [Riwayat Muslim no.2812 dan 2813]
 GALAKAN BERPUASA ‘ASYURA’
 Daripada Abu Qatadah Radiyallahu’anh bahawa Rasulullah ditanya akan puasa hari  ‘Asyura. Maka sabdanya : “ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. Didalam  riwayat yang lain “..adapun puasa pada hari ‘Asyura menghapuskan dosa tahun  sebelumnya”. [Riwayat Muslim no. 2803 dan 2804] Hadith diatas jelas merupakan anjuran Rasulullah kepada umatnya agar berpuasa  pada hari kesepuluh di dalam bulan Allah Muharram. Ini dijelaskan pada akan  terhapusnya dosa setahun yang lalu iaitu dosa-dosa yang kecil. Majoriti ulama  menyatakan bahawa dosa-dosa besar tidak dapat dihapuskan dosanya melainkan  dengan bertaubat kepada Allah Ta’ala dan menegakkan hukum hudud terlebih dahulu  bagi pesalah yang thabit didalam undang-undang Islam.
 HIKMAH PUASA ‘ASYURA’
 Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba di Madinah, beliau  mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa ‘’Asyura. Kemudian Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya, “Hari apa yang kamu berpuasa ini?”  Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini  adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu pula  Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam keadaan  bersyukur, maka kami pun mengikuti beliau berpuasa pada hari ini.” Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas berkata, “Kita seharusnya lebih berhak dan  lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.” Lalu setelah itu Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa. [HR. al-Bukhari no.2004 dan Muslim no. 2714] Hadith tersebut di atas menunjukkan kepada kita betapa Rasulullah mengikut apa  yang dilakukan oleh Nabi Musa kerana merasakan umatnya lebih berhak untuk  meluahkan rasa kesyukuran seperti yang berlaku kepada Nabi Musa yang selamat  dari ancaman Fir’aun. Antara hikmahnya ialah membezakan umat Nabi Muhammad dari orang Yahudi. Ini  kerana ada hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang menjelaskan bahawa  orang Yahudi menjadikan hari 10 Muharram ini sebagai satu perayaan, tetapi umat  Islam menjadikan hari ini untuk berpuasa. Ini merupakan perbezaan yang sering  baginda lakukan dan kita akan lihat beberapa perbezaan yang Nabi anjurkan  kepada umatnya.
 DISUNATKAN PUASA PADA 9 MUHARRAM
 Daripada Ibn Abbas Radiyallahu’anhuma bahawa Rasulullah ketika berpuasa pada  hari ‘Asyura dan mengalakkan untuk berpuasa, para sahabat bertanya : “Ya  Rasulullah, sesungguhnya hari tersebut (’Asyura) merupakan hari ini adalah hari  yang diagung-agungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Kemudian baginda bersabda : jika  tiba tahun berikutnya – insyaAllah – kita akan berpuasa pula pada hari  kesembilan”. Ibn Abas berkata “Belum sampai tahun depan, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam  sudah meninggal dunia.” (HR. Muslim no. 2722) Di dalam riwayat yang lain, Nabi Sallallahu’alalihiwasallam bersabda: “jika ada kesempatan ke tahun akan datang, aku akan berpuasa pada hari  kesembilan”. (HR. Muslim no.2723) Ini menunjukkan kesungguhan baginda ingin berpuasa tetapi tidak kesampaian.  Walaubagaimanapun, para ulama bersetuju untuk menyatakan ini menunjukkan betapa  Nabi Muhammad Sallallahua’alaihiwasallam ingin melakukan perbezaan daripada  amalan ahli kitab. Ini juga dijelaskan oleh satu athar daripada Ibnu Abbas : “Berpuasalah pada hari kesembilan dan kesepuluh, dan bezakanlah (dari meniru)  Yahudi” [HR. Al-Baihaqi no.8665] Ini disokong dengan banyaknya hadith yang menegah kita meniru orang-orang kafir.
 KESIMPULAN
 Setelah dinyatakan sunat berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh,  sebahagian ulama membahagikan martabat puasa di dalam bulan ini. Antaranya  Syeikh Abdullah Soleh AlFauzan mengatakan puasa di dalam Muharram terdapat  beberapa peringkat  iaitu : 
Pertama : Berpuasa pada 9,10 dan 11 Muharram. Ini berpandukan dari nukilan Imam  Ahmad [AlMughni 4/441, Iqtidaus Siratul Mustaqim 1/419] 
Kedua : Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini seperti yang dijelaskan di dalam  artikel ini. 
Ketiga : Berpuasa 9 dan 10 atau 11 Muharram. Ini berpandukan dari satu athar  yang dhoif dari Ibn Abbas. 
Keempat : Hanya melaksanakan puasa 10 Muharram. Ini menjadi perselisihan para  ulama akan makruhnya dengan hanya berpuasa pada hari 10 Muharram. Dan yang  paling jelas, ia makruh kepada sesiapa yang mampu untuk mengumpulkan hari ke 9  dan 10 dan tidak hanya berpuasa pada hari ke 10 sahaja. 
Wallahua’lam 

[Risalah Ahadith Syahrillah AlMuharram ms 13]


1 comment:

Mohamad Solehin said...

Ramai masyarakat mengejar berpuasa 1 muharram..malah meninggalkan puasa 10 muharram...apakah stigma masyarakat ini??..mengapa ianya ada walaupun hadis telah menjelaskan....

kembali kepada ajaran rasullullah s.a.w

insyaAllah...