Saturday, October 10, 2009

~Never Give Up,Ooh Daei"!~



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Assalamualaikumwarahmatullah..

Dalam meniti pagi hari yang diselubungi keredupan awan, kepiluan hati, kepenatan minda..tika itu hadir suatu harapan tika mana coretan ini menjadi bukti..kejernihan mutiara mata menitis menjadi saksi..

Buat sahabat-sahabat,..
Tugasmu bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.
Hujung bajuku selalu basah.Sering menjadi tempat aku mengelap mata.
Tidak sedikit tangisan yang tumpah di sepanjang liku perjalananku mengenal erti dakwah.
Apalah yang budak hingusan ini tahu tentang perjuangan?


Namun dalam usia yang berputik jagung, kusambut satu azam yang Allah campakkan ke hulu hati, agar tidak berpaling lagi.Jika setiap hari, kebanyakan teman sebayaku asyik melayan Rock kapak dan hidup ketawa, aku dan segelintir ghuraba’ di medan itu dilatih oleh para murabbi agar bertanya pada setiap perjalanan masa, “hari ini, apa yang sudah kubuat untuk Allah?”


REALITI DAKWAH

Benar sekali nasihat Luqman kepada anaknya tatkala buah hati pengarang jantung itu diperkenalkan kepada perintah dakwah.

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah seolat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan” [Luqman 31: 17]

Diejek, dipulau, dijadikan bahan ketawa, semua itu menjadi makanan harian di sepanjang hari-hari awal diriku mengenal erti dakwah. Kehidupan yang sedemikian rupa, menjadikan usia remajaku, tidak mudah untuk ditoleh sebagai kenangan yang menguntumkan senyuman. Biar pun zahirnya diriku tenang dan gembira, tetapi graf kehidupanku tidak ubah seperti catatan mesin mengukur gempa bumi yang turun naik pada skala Richter.Setiap kali graf itu mendatar, aku didatangi rasa bimbang dan gelisah.Pasti ada sesuatu yang bakal datang menguji.

Allah tidak lama membiarkan diriku alpa dengan keamanan kerana mungkin Dia Maha Tahu bahawa aku adalah manusia yang hanya boleh dibentuk dengan musibah dan ujian, bukan kesenangan dan keselesaan. Justeru setiap tahun mastautinku sebagai thalib al-’ilm di universiti, ada sahaja perkara besar yang menimpa sampai aku lali dengan segalanya.


UJIAN YANG MENYELAMATKAN

Selayaknya aku memuji Allah.

Rupa-rupanya segala kesusahan itulah yang menyelamatkan aku dari fitnah kehidupan di usia muda. Kesakitan menanggung dakwah menyebabkan aku hilang selera pada keseronokan yang digilai rakan-rakan seusia. Aku tidak mampu mengecap rasa manisnya kerana seluruh reseptor pada tubuh badanku hanya mengenal hidangan satu rasa. Bukan manis dan bukan masin. Hanya pahit, perisa kebenaran.Zaman kenakalanku sudah lama berlalu.

Ia bersambung dengan perjalanan yang tidak pernah meredakan jatuh bangun kehidupan yang penuh liku. Aku juga yakin, beginilah sebenarnya jambatan untuk sampai ke Syurga. Dunia penjara Mukmin, jalan ke Syurga penuh ranjau yang menjanjikan damai di hujung perjalanan.
Namun Allah tahu sakit dan sihat iman hamba-Nya. Tidak sekali-kali dibiarkan hamba-Nya diuji hingga melepasi tahap keupayaan diri. Sesekali akan Allah datangkan sinar gembira, terutamanya pada melihat generasi-generasi yang menyusul di belakang berjaya menyertai mata rantai jalan ini.


Ketika fitnah Jahiliyyah semakin menggila, Allah suka memberi petunjuk kepada kita bahawa biar sehitam mana sekali pun pekatnya malam, sentiasa ada kunang-kunang dan pelita yang menyala tabah di sana sini. Semuanya demi menyedarkan kita, bahawa tiada malam kecuali datang selepasnya siang.Di antara khabar gembira itu, ada yang datang segera, ada yang ditangguhkan-Nya ke masa yang lebih bermakna.


PUJI DAN PUJA UNTUK-MU

Ya Allah, ampunkan aku!

Aku pernah hampir berputus asa. Pernah menyoal di manakah kesudahan usahaku dan rakan-rakan menyeru manusia kepada-Mu. Seandainya aku berputus asa dan berhenti dari menyampai, rugilah Kami, rugilah aku, dunia dan Akhirat.


Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya.

Dia mungkin meremehkannya di depan dirimu.Namun akan sampai harinya, mutiara pemberianmu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan.Berlapang dadalah kalian wahai sahabatku di medan dakwah.

Jalan itu memang begitu.

Tugas kita bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.


“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)” [al-Ghasyiah 88: 21-22]


Sekian....Wasalam

Mohamad Solehin Bin Bakri

msb_rg8@yahoo.com

=)

5 comments:

Humayra' said...

http://brohamzah.blogspot.com/2009/10/nota-dakwah-jalan-yang-memuliakan.html

jemput baca..

moga terus kuat dalam berjuang. andai benar titik mulanya, insyaALlah Dia akan membantu utk terus istiqamah.

May Allah bless.

Anonymous said...

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

lynne said...

so beautifully written...

smoga ko tetap tabah~

Anonymous said...

Umno menang tetapi kalah dalam memerangi rasuah ..

Anonymous said...

jalan dakwah.. biar penuh dugaan, itulah jalan yg dirintis oleh para nabi..

kdg kala dirasakn berda'wah di non muslim country lbh mudah.. kurg kedengaran suara2 yg boleh melemahkan sorng daie andai terus larut dgn ejekan2 itu..

tak mengapa, daie tidak pernah keseorangan.. dlm menanggung beban da'wah, hanya hati yg kuat dpt memikulnya.. bukan hati yg keras, tp hati yg kuat...

benar.. tugas daie adlh menyampaikan, bukan menghukum..
moga semua yg kita lakukan adalah kerana Allah..

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: ""Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?"""[41:33]