Friday, November 25, 2011

~Awal Muharram: Amalan Doa Awal & Akhir Tahun~


Assalamualaikum w.b.t

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang menciptakan alam ini tanpa sedikit kecacatan. Yang menjadikan manusia dengan penuh sifatnya. Maha Besar Allah, Tuhan semesta alam.

Selawat dan salam semoga terlimpah pada Rasul mulia, junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya, dan para penerusnya yang mengikuti mereka sehingga kiamat.

Wahai sahabat-sahabatku se-Islam sekalian, takutlah akan Allah. Bertawakallah kepadaNya. Bersama-samalah kita saling ingat-mengingati ke arah kebenaran. Semoga tergolong di dalam golongan yang telah dijanjikan Allah kemualiaan di sisiNya. Insya Allah.

Doa merupakan satu anugerah Allah yang telah dikurniakan kepada kita. Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang sahih berkisar mengenai doa ini. Bahkan Allah telah menyediakan pula waktu-waktu mustajab untuk kita berdoa. Namun kita mesti juga akur bahawa segala ibadat yang kita lakukan mestilah berlandaskan dalil yang kukuh dan bukannya akal semata-mata.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu tauladan (contoh ibadat) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta dia banyak mengingati Allah.” Surah Al-ahzab ayat 21

Allah juga telah berfirman:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu buat kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Aku redhai Islam menjadi agamamu.” Surah Al-Maidah ayat 3

Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan perintah kami(Allah dan RasulNya), maka amalan itu tertolak.” Hadis riwayat Muslim

Imam Syafi’I juga pernah menegaskan:
“Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik sesuatu amalannya yang direka), beerti dia telah membuat satu syariat dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir.”

Maka di sini terang mengatakan bahawa ibadat itu tidak boleh di ambil mudah. Hujah akal tidak menghalalkan sesuatu ibadat. Kerana asal sesuatu ibadat itu haram selagi tidak ada dalil yang mengharuskannya.

Doa Awal dan Akhir Tahun

Insya Allah pada kali ini, jom kita buat kesimpulan/ringkasan mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, ana akan mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal dan akhir tahun.

Berikut adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan:

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.

Fatwa-fatwa dan sumber dari ulama’-ulama’ luar negara selain nusantara telah diselongkar, hasilnya mendapati tidak ada apa-apa nas membenarkan perkara ini. Maka kata putus telah diambil bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti:
“Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.”

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah dan Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka.” Hadis Mutawtir

Ibnu Mas’ud pernah berkata yang bermaksud:
“Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).”

Ibnu Abbas juga pernah berkata:
“Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.”

Kesimpulan

Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran mahupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menyalahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.

Ana berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana doa tersebut mempunyai maksud yang sangat baik dan berdoa juga memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:
“Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah manakala setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.” Hadis riwayat Muslim

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya pada awal dan akhir tahun sahaja.

Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya diri ini hanyalah hamba Allah yang lemah.

Sekian. Wassalam

Mohamad Solehin Bin Bakri




2 comments:

zaidi said...

jadi, amalan doa ini x ada dalil yg sahih ka?

Rik no Blog said...

Um livro!