~Perang BADAR,suatu Kemenangan dari Allah~
Persaudaraan orang-orang Islam yang datang dari Makkah dengan orang-orang Islam kota Madinah, iaitu kaum Muhajirin dan kaum Ansar, begitu baik dan kuat, seakan-akan mereka semua bersaudara kandung, tolong-menolong dengan serapat-rapatnya. Kota Madinah yang boleh dikatakan kota Yahudi itu, mengalami perubahan besar, dengan banyaknya orang-orang Yahudi yang masuk Ugama Islam. Hal ini menimbulkan gerakan anti Islam dikalangan orang-orang Yahudi yang masih fanatik. Dalam pada itu kaum musyrik Makkah semakin cemas hatinya melihat kemajuan Ugama Islam di Madinah itu. Kemarahan bangsa Yahudi makin bertambah, setelah Allah memerintahkan berkiblat dari Baitui Maqdis ke Kaabah di Makkah, sekalipun Kaabah sendiri dikala itu masih penuh dengan berhala. Nabi melayani setiap orang Yahudi dengan baik dan lemah-lembut. Dengan mereka dibuat perjanjian, dimana ditetapkan: 1. Orang Yahudi dan Orang Islam hendaklah hidup sebagai satu bangsa. 2. Masing-masing merdeka menjalankan upacara keagamaan masing-masing dan tidak boleh ganggu-mengganggu. 3. Jika salah satu diserang musuh, yang lain akan memberikan bantuannya. 4. Bila kota Madinah mendapat serangan, orang-orang Islam dan orang-orang Yahudi harus bersama-sama mempertahankannya. 5. Jika antara kedua pihak timbul perselisihan, maka Nabi sendiri yang akan mengadilinya. Tetapi tak lama sesudah perjanjian itu ditandatangani, orang-orang Yahudi mulai melanggarnya dengan mengadakan hasutan untuk mengenyahkan orang-orang Islam dari Madinah. Gerakan ini bukan gerakan yang boleh dianggap mudah, tetapi gerakan besar, yang berbahaya sekali terhadap jiwa ummat Islam, kerana gerakan ini dipimpin oleh seorang Yahudi yang besar pengaruhnya iaitu Abdullah bin Ubay, yang hampir saja diangkat bangsa Yahudi menjadi Raja Madinah. Abdullah bin Ubay ini sangat anti terhadap Islam, kerana dengan tersiarnya Ugama Islam itu, pengaruhnya semakin berkurangan. Dalam pada itu, penduduk Makkah sudah bersiap sedia pula untuk menyerang orang Islam dengan kekuatan yang besar. Kedudukan orang Islam mulai sulit dan berbahaya sekali. | ||
![]() | ||
|