Thursday, September 16, 2010


~Puasa Sunat Enam Syawal~


Puasa sunat syawal mempunyai dalil yang sahih dari rasullullah s.a.w.Dalilnya ialah hadis Rasulullah s.a.w.: 
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]


Darjat Hadis Puasa Sunat Enam Syawal.

Hadis yang menjadi dalil puasa sunat enam Syawal adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Sebelum ini ada segelintir pihak yang meragui kesahihan hadis ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadis ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:

“Hadis ini nyata kesahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat.” [Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]


Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: “Disunatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad.” [Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533]

Imam Malik menganggap hukumnya makruh. Sebabnya dijelaskan oleh Imam Ibn Rusyd (595H): “Dan ada pun (puasa) enam hari dari bulan Syawal, maka sesungguhnya telah sabit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” Walaubagaimana pun (Imam) Malik menganggap hukumnya makruh. (Anggapan ini) mungkin kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan, atau mungkin kerana hadis tersebut tidak sampai kepadanya, atau mungkin kerana hadis itu tidak sahih disisinya. Kemungkinan yang terakhir adalah yang lebih tinggi.” [Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 209]

Sebahagian ilmuan dari Mazhab Hanafi ada juga yang menganggap hukumnya makruh atas sebab-sebab yang sama dengan Mazhab Maliki. Akan tetapi jumhur Hanafiyah menganggapnya tidak mengapa, yakni membolehkannya. [Ibn ‘Abidin – Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar fi Syarh Tanwir al-Abshor (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn), jld. 3, ms. 435]


Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]


Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara rambang?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Walaubagaimana pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Ali Imran 3:133]
Smoga kita semua dapat menjadikan syawal ini sebagai penerus tarbiyyah Ramadhan.. Istiqamah puasa ramadhan dapat kita jalankan dengan berpuasa sunnat 6 hari di bulan syawal..insyaAllah..selamat beramal..
Mohamad Solehin Bin Bakri



1 comment:

Rik no Orkut said...

Faria sentido se eu entendesse!