Friday, May 14, 2010


Remajaku, Kalian Adalah Tiang Kebangkitan Ummah


Kehidupan ini adalah satu perjalanan yang penuh ujian menuju ke sebuah negeri yang kekal abadi iaitu negeri akhirat. Namun untuk menuju ke negeri yang kekal abadi itu, kita perlukan misi dan visi yang jelas untuk memandu kita ke arah yang betul.

Tanpa misi dan visi yang jelas, ada kemungkinan kita akan sesat dalam perjalanan. Apatah lagi perjalanan itu penuh dengan pelbagai ujian.

Perjalanan yang disebut sebagai perjalanan yang penuh ujian ini merujuk kepada kehidupan kita di dunia yang sementara - penuh mehnah dan tribulasi, penuh cabaran dan dugaan.

Sesungguhnya, matlamat hidup setiap hamba Allah adalah penegakan dan perlaksanaan agama Allah s.w.t. sepenuhnya seperti mana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 208:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Walaupun kadangkala remaja dan belia merasakan diri masing-masing masih terlalu muda untuk memikirkan tentang misi dan visi hidup masing-masing, renungkanlah pesanan asy-Syahid Hasan al-Banna berkaitan remaja dan pemuda.

Pesanan asy-Syahid Hasan al-Banna



Asy-Syahid Hasan al-Banna dalam saranan beliau mengenai pembentukan generasi pelapis dakwah ini menyarankan agar pendekatan iman, ikhlas, semangat dan amal menjadi rukun-rukun khusus untuk para pemuda. Menurut beliau:

1.Asas iman ialah hati yang terang

2.Asas ikhlas ialah jiwa yang bersih

3.Asas semangat ialah perasaan yang mantap

4.Asas amal ialah azam yang kuat.

Menurut beliau lagi, remaja dalam kalangan setiap umat (dahulu dan sekarang) merupakan tiang kebangkitan umat. Firman Allah:

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami (Allah) tambahkan kepada mereka petunjuk.”

(Al-Kahfi 18:13)

Kisah pemuda Kahfi sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada remaja dan belia hari ini, betapa dalam setiap zaman terdapat sekumpulan pemuda yang sanggup berkorban segala-galanya hatta nyawa sendiri demi kecintaan kepada yang Maha Pencipta.

Segala halangan dan cabaran ditempuhi demi menyelamatkan akidah. Segala-galanya kerana cinta, cinta paling agung dan kudus, cinta kepada Yang Memberikan cinta, cinta kepada yang Maha Mengasihi lagi Maha Mengasihani. Itulah cinta kepada Allah Tuhan semesta alam.

Masih ingatkah kita pada para pemuda dan pemudi pada zaman Rasulullah s.a.w. yang memiliki misi dan visi kehidupan yang jelas? Mereka berlumba-lumba demi mendapatkan keredhaan Allah.

Masih ingatkah dikau pada seorang remaja yang dalam usia belum mencecah 18 tahun, telah dilantik oleh ar-Rasul s.a.w. sebagai panglima perang yang mengetuai pasukannya? Pasukan ini dianggotai sendiri oleh sahabat-sahabat yang lebih dewasa dan senior seperti Sayidina Abu Bakar r.a., Sayidina Umar r.a. dan lain-lain. Remaja ini juga pernah diberikan peluang untuk terlibat dalam pertempuran Uhud setelah nama beliau tidak tersenarai dan beliau menangis di sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Itulah Usamah bin Zaid.


Remajaku, Kalian Adalah Tiang Kebangkitan Umat!

Dalam segala keseronokan dan kelincahan para remaja, dalam keaktifan mencari hiburan, dan dalam kecelaruan mencari identiti...

Ingatlah, Tuhan kita Allah, bukan hedonisme. “Idola” kita adalah Rasulullah s.a.w., bukan golongan yang sesat lagi menyesatkan. Bahagia kita ialah zikrullah, bukan merempit, melepak tanpa tujuan atau berpelesiran tanpa haluan. Rujukan kita adalah al-Quran dan sunah, bukan majalah-majalah dan laman-laman lucah.

Bersederhanalah dalam berhibur. Berpada-padalah dalam bersuka-suka. Berwaspadalah dalam setiap langkah. Bersifat malulah jika ingin melakukan kemungkaran.

Sesungguhnya remajaku, kalian adalah tiang kebangkitan umat. Maka janganlah leka dengan segala keseronokan duniawi yang andai diambil secara berlebihan akan membunuh jiwa dan mindamu, meranapkan keluhuran budi pekertimu. Andai hal itu terjadi, akan tergadailah maruah diri, umat dan agamamu, sedangkan harapan umat terletak di bahumu.